Anak calon bebas PRU15 hilang di taman permainan ditemukan selamat

Adie Sufian Zulkefli
Mac 1, 2024 15:48 MYT
Sofea Auni Adilah (tengah) ditemukan di Kepala Batas pada Khamis. - Foto Sofan Feroza
SUNGAI PETANI: Anak bongsu calon bebas yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Sofan Feroza Md Yusof, 45, yang dilaporkan hilang ketika pergi ke padang permainan berdekatan rumah ibunya di Bandar Aman Jaya, di sini pada Selasa lalu, ditemui di Kepala Batas, Pulau Pinang dalam keadaan selamat pada Khamis.
Menurut Sofan Feroza, sebaik berita kehilangan anaknya Sofea Auni Adilah, 14, disiarkan Astro AWANI dia menerima makluman bahawa Sofea Auni Adilah ada di Kepala Batas lalu bergegas ke sana bagi mendapatkannya.
"Pada pukul 6.30 petang, saya sampai di Kepala Batas dan menuju ke tempat yang dimaksudkan, mendapati anak saya bersama seorang lelaki.
“Bimbang akan sesuatu terjadi pada anak saya kemudian saya membawa anak bongsu dari tiga beradik itu ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk tindakan lanjut.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu pencarian selain menyebarkan maklumat kehilangan sehingga anaknya ditemui selamat,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Jumaat.
Sementara itu Sofan Feroza menyerahkan menyerahkan kes kepada pihak polis untuk meneruskan siasatan.
Astro AWANI sebelum ini, melaporkan seorang pelajar tingkatan dua dipercayai hilang ketika pergi ke taman permainan di rumah ibunya di Bandar Amanjaya, pada petang Selasa.
#Anak hilang #Calon PRU15 #Sofan Feroza #Kepala Batas #ditemukan selamat #Sofea Auni Adilah
;