Anak calon bebas PRU15 dilaporkan hilang
Adie Sufian Zulkefli
Februari 29, 2024 15:15 MYT
Februari 29, 2024 15:15 MYT
SUNGAI PETANI: Anak ketiga calon bebas yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sofan Feroza Md Yusof, 45, dilaporkan hilang ketika pergi ke padang permainan di Bandar Aman Jaya, Sungai Petani, jam 7 petang Selasa.
Menurut Sofan Feroza, anaknya Sofea Auni Adilah Sofan Feroza, 14, gagal dihubungi sejak petang dilaporkan hilang.
Menurutnya, anak bongsu dari tiga beradik itu sebelum ini tinggal bersamanya di Alor Setar bagaimanapun pergi ke rumah bekas isteri yang juga ibu anaknya berikutan cuti sekolah.
“Anak saya pergi ke rumah ibunya yang baru berpindah ke Sungai Petani.
"Saya dan bekas isteri sudah lama berpisah dan ketika cuti sekolah ini, Sofea Auni hendak tinggal bersama ibunya, Hasmawati Derani, 46, sebelum sekolah bermula.
"Pada hari kehilangannya dia memberitahu neneknya yang dia hendak ke padang permainan di taman perumahan itu namun tidak pulang ke rumah selepas itu.
"Saya dan ibunya cuba menghubungi telefon bimbitnya berkali-kali tetapi tidak berjawab malah cuba menghubungi kawan-kawannya tetapi mereka tidak tahu kehilangannya.
"Kami sekeluarga risaukan keselamatan Sofea Auni," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Sofan Feroza berkata, pada hari kejadian anaknya berpakaian baju sejuk dan seluar berwarna hitam.
Beliau berkata, sesiapa yang menemui anaknya boleh menghubunginya di talian 019-5007303.
"Laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Sungai Petani pada Rabu mengenai kehilangan anak saya," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan mengesahkan menerima laporan.
#anak calon bebas PRU15 hilang
#Sofan Feroza Md Yusof
#Sungai Petani
#gagal dihubingi
#Sofea Auni Adilah Sofan Feroza