Anak bongsu hilang kata-kata, empat ahli keluarga pergi sekali gus

Astro Awani
Julai 13, 2022 07:40 MYT
Mohamad Hazman yang sangat sedih dengan kehilangan empat ahli keluarga sekali gus berkata, mereka sekeluarga sempat menziarahi saudara-mara pada Hari Raya Aidiladha tempoh hari. - Foto Astro AWANI
PERMATANG PAUH: Anak bongsu pasangan Koperal Rahim Ramli, 60 tahun, dan isteri, Siti Petimah Omar, 59 tahun, reda dengan pemergian sekali gus empat ahli keluarganya dalam kemalangan tujuh kenderaan di Kilometer 277.1 Lebuhraya Utara-Selatan, dekat Ipoh, Perak, pada Rabu.
Mohamad Hazman, 20 tahun, hilang kata-kata sebaik menerima perkhabaran duka mengenai kemalangan yang mengorbankan ibu bapa dan dua kakaknya itu, selepas dihubungi seorang lagi kakaknya.
Menurutnya, kali terakhir mereka bertemu ialah pada Selasa, sebelum dia pulang ke Perlis untuk menjalani latihan Industri.
Katanya, ibu bapanya dalam perjalanan menghantar kakak sulungnya, Nor Hadirah, ke Kuala Lumpur untuk melapor diri di tempat kerja selepas sekian lama bercuti.
"Saya tahu mereka hendak ke Kuala Lumpur sebab mahu hantar kakak saya ke Kuala Lumpur, sebab kakak hendak kerja di sana.
"Saya sangkakan mereka pergi macam biasa, macam sebelum-sebelum ini, ayah yang akan bawa kakak ke sana.
"Jadi, saya pun balik kerja di Perlis macam biasa, salam cium tangan mereka. Tapi tiba-tiba, dengar-dengar macam ini.
"Rasa sedih, tak tahu hendak cakap macam mana. Di sini, tinggal saya dengan kakak sahaja," kata Mohamad Hazman ketika ditemui pada majlis pengebumian jenazah empat ahli keluarganya di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Permatang Pasir, Pulau Pinang awal pagi ini.
Jelasnya, sebelum kejadian, tiada kelakuan pelik yang diperhatikan melibatkan ahli keluarganya itu.
"Semua macam biasa. Kami keluar pada Hari Raya tempoh hari, saya bawa kakak saya berjalan-jalan, pergi ziarah ke rumah adik-beradik. Emak dan ayah pun pergi. Kiranya, kami sempatlah berziarah,
"Cuma, saya sedihlah, sebab sekali pergi empat orang, bukan satu, bukan dua, bukan tiga, tapi sekali empat. Memang betul-betul sedih," tambahnya.
Terdahulu, jenazah empat beranak itu selamat dikebumikan dalam satu liang lahad kira-kira jam 3.15 pagi tadi.
Dalam kejadian sekitar jam 3 petang Rabu, empat sekeluarga yang menaiki kereta Proton Persona maut akibat tersepit selepas terlibat nahas membabitkan enam kereta dan sebuah treler.
Ketika kejadian, mereka dalam perjalanan dari Sungai Petani, Kedah menuju ke Kuala Lumpur.
#kemalangan empat beranak #anak bongsu #Mohamad Hazman #Rahim Ramli
;