Anak beritahu mahu ronda sebelum lemas

Sinar Harian
November 8, 2021 06:30 MYT
Mayat Mohd Hafiz Izzan Awari, 6, ditemui jam 10.05 pagi tadi oleh penduduk kampung yang turut membantu pencarian mangsa sejak jam 6 petang semalam. -Foto Astro AWANI
YAN: "Abang nak pi ronda." Demikian kata-kata akhir kanak-kanak enam tahun sebelum terjatuh ke dalam sungai berdekatan rumah neneknya di Kampung Perupok pada Ahad.
Awary Md Daud, 34, berkata, anak lelakinya, Mohd Hafiz Izzan Awary ada menegurnya ketika dia berada dalam rumah, kira-kira jam 5.40 petang.
Menurutnya, mangsa anak ketiga daripada lima beradik itu memanggilnya dari luar rumah dan memaklumkan ingin terus bermain biarpun sudah keletihan.
"Dia kata nak pi ronda, saya minta dia rehat dulu tetapi dia senyap sahaja dan terus berlalu," katanya.
BACA: Mayat Mohd Hafiz, kanak-kanak tergelincir ke dalam sungai ditemukan
Awary kemudian keluar dan berada di jambatan tidak jauh dari rumah sambil melihat burung di tepi sungai sebelum menyapa penduduk kampung yang melalui kawasan tersebut.
Menurut Awary, tidak lama kemudian, anak perempuannya berusia sembilan tahun pulang ke rumah bersama sepupu mereka.
"Bila saya tanya mana adik, dia kata tak nampak.
"Kira-kira 10 minit kemudian, seorang lagi kawan memaklumkan ternampak basikal anak di tepi jambatan.
"Saya rasa tidak sedap hati lalu kami mencarinya di merata-rata tempat termasuk turun ke sungai tetapi tetap tidak jumpa," katanya.
Mayat mangsa ditemui di Kampung Setar kira-kira dua kilometer dari jambatan berdekatan rumah neneknya di Kampung Perupok, Yan, Kedah.
Jiran mangsa, Abdul Arif Tahir, 24, memberitahu, sejak mengetahui kehilangan Mohd Hafiz Izzan, dia bersama penduduk kampung turut berusaha mencari kanak-kanak itu termasuk di laluan sungai bermula 6.45 petang pada Ahad dan berhenti pada jam 12 tengah malam.
"Operasi disambung jam 8 pagi tadi (Isnin) sebelum kami teruskan mencari sehingga ke Kampung Setar.
"Alhamdulillah, akhirnya kami jumpa mangsa berdekatan paip air kira-kira jam 10.05 pagi," jelasnya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, operasi pencarian membabitkan kira-kira 28 pegawai dan anggota JBPM Kedah termasuk dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan, Guar Chempedak, Jitra, Sungai Petani, dan Unit K9 selain bantuan Polis Diraja Malaysia serta Rela.
Menurutnya, operasi tamat sepenuhnya setelah mayat mangsa ditemui di Kampung Setar kira-kira dua kilometer dari jambatan berdekatan rumah neneknya di Kampung Perupok, Yan.
Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
*Berita asal di Sinar Harian
#anak lemas #jatuh dalam sungai #Awary Md Daud #Mohd Hafiz Izzan
;