Anak-beranak ditahan ingkar PKP, jual rokok seludup di Lahad Datu
Qaisara Umaiyah
April 2, 2020 21:57 MYT
April 2, 2020 21:57 MYT
Dua lelaki warga asing berusia 15 dan 34 tahun ditahan sepasukan anggota polis selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan dan merayau-rayau di sekitar belakang pasar ikan kira-kira pukul 10 malam Rabu.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansur dalam kenyataannya berkata, kedua-dua lelaki tersebut ditahan ketika pihaknya menjalankan rondaan pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekitar bandar.
"Hasil pemeriksaan, polis telah menjumpai rokok pelbagai jenama yang dipercayai rokok seludup serta wang tunai berjumlah RM1,179 hasil jualan rokok tersebut," katanya.
Jelas Nasri, anak-beranak itu mengaku menjual rokok di kawasan pasar ikan sejak Isnin lepas walau mereka mengetahui arahan PKP yang sedang dikuatkuasakan.
"Tangkapan akan dituduh di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967, manakala untuk melanggar arahan PKP akan disiasat di bawah seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Peraturan 11 (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Berjangkit) 2020," katanya.