Anak beranak 'dikerah' jual dadah

Muhafandi Muhamad
April 17, 2017 14:00 MYT
Hasil pemeriksaan polis ke atas kereta berkenaan menjumpai 40 botol heroin dengan berat keseluruhan 160 gram yang bernilai RM80,000. - Gambar fail
Sepasang suami isteri menggunakan empat anaknya berusia bawah 12 tahun untuk aktiviti penjualan dadah jenis heroin di sini sejak awal tahun ini.
Menurut Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner, SAC Din Ahmad, pasangan suami isteri berusia 38 dan 32 tahun itu membawa anaknya bersama untuk menjalankan aktiviti mereka bagi tujuan mengaburi mata masyarakat dan pihak polis.
Aktiviti mereka terbongkar apabila pihak polis berjaya menahan mereka di Melor pada jam 10 malam, 15 April lepas ketika suspek bersama anak-anaknya dipercayai sedang menunggu pelanggan dalam sebuah kereta.
Hasil pemeriksaan polis ke atas kereta berkenaan menjumpai 40 botol heroin dengan berat keseluruhan 160 gram yang bernilai RM80,000.
“Anak-anak dibawa sebagai satu cara untuk mengaburi mata polis tentang kegiatan haram yang dilakukannya,” katanya.
Bercakap di sidang media di ibu pejabat polis kontinjen Kelantan, IPK siang tadi, beliau memaklumkan pasangan berkenaan ditahan reman selama seminggu bermula semalam.
Katanya kes disiasat mengikut seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Heroin berkenaan dipercayai dibawa masuk dari negara jiran dan boleh diagihkan kepada lapan ribu orang penagih dadah.
Pasangan berkenaan yang dikenali sebagai 'Sindiket Madi' dipercayai bergiat aktif memasarkan dadah jenis heroin sejak awal tahun ini berikutan permintaan tinggi penagih heroin.
Suspek lelaki yang berusia 38 tahun itu mempunyai empat rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan ujian air kencing mendapati suspek positif morfin, manakala isterinya yang berusia 32 tahun tidak mempunyai rekod jenayah serta negatif ujian air kencing.
Menurut SAC Din lagi, pihak polis masih lagi menjalankan siasatan samada isteri suspek mengetahui aktiviti penjualan dadah yang dijalankan suaminya atau sebaliknya.
Katanya sejak kebelakangan ini tangkapan terhadap pengedar dan penagih heroin kian meningkat yang menunjukkan dadah jenis berkenaan kian mendapat permintaan di Kelantan.
#Dadah #jenayah #polis #sindiket #suspek
;