Anak bekas Exco Terengganu maut dalam kemalangan

Sharom Abu Bakar
Jun 19, 2018 08:20 MYT
Motosikal yang dinaiki mangsa dipercayai bertembung dengan sebuah kereta. - Astro AWANI/Sharom Abu Bakar
Anak bekas Exco Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Mohd Jidin Shafie maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan.
Nahas berlaku di Jalan Sultan Zainal Abidin berhampiran sebuah pasaraya kira-kira jam lima petang Isnin.
Ketika kejadian mangsa Muhammad Izzat Husaini Mohd Jidin, 17 tahun, yang menunggang motosikal jenis Yamaha, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Losong.
Namun sejurus tiba di lokasi kejadian, motosikal yang dinaiki mangsa dipercayai bertembung dengan sebuah kereta.
Mangsa keluar dari rumah kira-kira jam 2 petang dipercayai untuk beraya bersama rakan-rakannya.
Pelajar Kolej Vokasional Wakaf Tembesu, Kuala Nerus itu meninggal dunia ketika menerima rawatan lanjut di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kira-kira jam 5.40 petang.
Menurut abang mangsa, Mohd Jamel Aziz Mohd Jidin, mereka sempat menikmati hidangan tengahari bersama.
“Saya ada tawarkan untuk menghantar dia ke tempat yang ingin dituju itu. Saya nasihatkan dia supaya jangan menaiki moto. Maklumlah musim Hari Raya seperti ini kita harus berhati-hati,” katanya ketika ditemui di Kuala Terengganu.
Sementara itu Ketua Jabatan Dan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Superintendan Abd Razak Hasan ketika dihubungi Astro AWANI, mengesahkan kejadian.
Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan diserahkan kepada ahli keluarga untuk urusan pengebumian.
Kes disiasat dibawah Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#anak #Astro #Astro Awani #Exco #Hospital #keluarga #kemalangan #kerajaan #kereta #Kuala Terengganu #mangsa #maut #mayat #meninggal dunia #Nahas #pelajar #rumah #siasatan
;