Anak anugerah Allah, jangan abai kesihatan mereka - Raja Permaisuri Agong

Fareez Azman
Januari 20, 2020 13:58 MYT
Sejak kelahiran putera dan puterinya, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sentiasa memberi penekanan terhadap aspek pengambilan imunisasi bagi memastikan anak-anak baginda membesar dengan sihat. - Gambar fail BERNAMA
Sebagai bonda yang menghargai dan menyayangi kehadiran putera dan puterinya seperti wanita lain, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tidak ketinggalan sentiasa menitikberatkan kesihatan anak-anak baginda.
Sejak kelahiran putera dan puterinya, Tunku Azizah sentiasa memberi penekanan terhadap aspek pengambilan imunisasi bagi memastikan anak-anak baginda membesar dengan sihat.
Tunku Azizah bertitah, sebaik dilahirkan sehingga anakanda-anakanda baginda mencecah usia kanak-kanak dan remaja, baginda sentiasa memastikan mereka menerima imunisasi sebagai mana dituntut oleh kerajaan.
“Kesihatan anak-anak amat penting bagi generasi akan datang, sekiranya anak tidak sihat terutama (seperti disyorkan oleh) United Nation ‘water are very important, clean water for healthy pregnancy’ di mana anak akan membesar dengan sihat," titah baginda semasa merasmikan Hospital Tunku Azizah (HTA) di sini hari ini.
Sehubungan itu, baginda bertitah, golongan ibu khususnya agar sentiasa meletakkan kesihatan anak-anak sebagai keutamaan kerana cahaya mata merupakan anugerah daripada Allah.
Dalam masa sama, Tunku Azizah turut mengingatkan golongan ibu agar menggunakan fasiliti yang dibangunkan kerajaan Malaysia.
“Saya nak menasihatkan kepada ibu-ibu, anak adalah anugerah Allah, jadi tugas ibu membesarkan anak kita dengan sihat.
“Jadi saya harap fasiliti seperti di hospital ini, kita gunakan sepenuhnya. Jangan ada anak sudah demam seminggu, baru nak hantar ke hospital kerana sekarang banyak penyakit baru,” titah Tunku Azizah lagi
Menyenuh mengenai HTA, baginda menzahirkan rasa terharu atas inisiatif kerajaan menamakan nama hospital terbabit dengan nama baginda.
Terdahulu, Tunku Azizah mengadakan lawatan di Pusat Transplan Sel Stem dan Pusat Perubatan Reproduktir di hospital terbabit.
Dalam lawatan itu, baginda diiringi Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengarah HTA, Dr Roniyuzam Abdul Malek.
HTA sebelum ini dikenali sebagai Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur.
Mula beroperasi sepenuhnya pada Ogos 2019, HTA dilengkapi 600 buah katil dengan pecahan 378 katil bagi wad Pediatrik, 222 katil (wad Obstetrik dan Ginekologi), 24 katil Unit Penjagaan Rapi Dewasa.
Sementara 32 katil lagi pula bagi Unit Penjagaan Pediatrik (PICU), 50 katil (Penjagaan Rapi Neonatal), 16 katil (Bone Marrow Transplant) dan lapan katil (Pediatric Burn Bath).
Hospital berkenaan turut dilengkapi tiga buah dewan bedah Ginekologi, sembilan dewan bedah Pediatrik termasuk 1 dewan bedah Hybrid Neuro selain dua buah dewan bedah bersalin, lapan suit kemoterapi bagi Ginekologi dan sebuah Pusat Perubatan Reproduktif.
#fasiliti #Hospital #kerajaan #kesihatan #Noor Hisham Abdullah #pendidikan #perubatan #sekolah #Tunku Azizah
;