IPOH: Kepantasan seekor anak anjing berusia lapan bulan yang diberi nama 'Anandaveli' menggigit pipi, telinga serta menarik rambut dan baju tuannya telah menyelamatkan lima sekeluarga daripada maut dalam kebakaran di Teluk Intan awal hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 5 pagi di rumah teres dua tingkat di Eastern Garden itu, seorang daripada mangsa kebakaran A. Vimala, 53, berkata beliau tersedar setelah tindakan anjing betina itu mengejutkannya daripada tidur dan mendapati api sedang marak di bahagian tengah rumah yang juga merupakan tempat sembahyang mereka sekeluarga.

"Pada mulanya saya separuh sedar, saya ingat tindakan Anandaveli itu adalah disebabkan kehausan jadi saya menyuruhnya untuk pergi ke dapur. Tetapi disebabkan Anandaveli terus menarik kaki saya dengan kuat, saya terjaga dan mula sedar kebakaran sedang berlaku di dalam rumah.

"Saya terus menjerit pada anak-anak saya iaitu Raaghi, 23, Prakash, 22, dan Vimalan, 18, untuk menyelamatkan diri dengan keluar daripada rumah," katanya kepada Bernama.

Mengulas lanjut, beliau berkata sejurus berada di luar rumah, didapati bahawa suaminya N. Marimuthu Naidu, 58, yang menghidap penyakit separa lumpuh masih berada di bilik belakang rumah tersebut ketika api sedang marak.

"Saya menyuruh anak bongsu saya Vimalan untuk menyelamatkan ayahnya. Vimalan dengan keberanian dirinya bergadai nyawa dengan meredah api kebakaran dan mendukung bapanya keluar dari rumah," jelasnya yang kini terpaksa menumpang berteduh di rumah ibu di Jalan Laksamana.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar Terence Naidu berkata kebakaran itu berjaya dipadamkan oleh 12 anggota dengan dua jentera dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Teluk Intan pada kira-kira 6.30 pagi dan jumlah kerugian kebakaran dianggarkan bernilai RM50,000.

"Kami akan memberi bantuan kepada Vimala sekeluarga dalam bentuk wang kecemasan, makanan dan mendapatkan wang bantuan daripada dana bencana dari pejabat daerah. Kami juga akan cuba bantu untuk dapatkan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dalam masa terdekat," katanya.

-- BERNAMA