Anak angkat sejak bayi, hubungan dengan keluarga asal lain agama tetap erat

Azlinariah Abdullah
Jun 6, 2024 07:50 MYT
Halimah bersyukur, keluarga asalnya, berbangsa Cina, tidak berkurang kasih sayang kepadanya. - Astro AWANI
MEKAH: Tahun ini, Halimah Enn dari Miri, Sarawak mendapat rezeki mengerjakan haji, menjadi tetamu Allah, menjejak kaki ke Tanah Suci. Dia sudah hidup selama 64 tahun.
Selama 64 tahun itu, dia tidak pernah kekurangan kasih sayang. Walaupun anak angkat, dia disayangi keluarga angkatnya.
Adik beradik angkatnya tidak pernah sekali pun mengungkit kenapa dia berbeza rupa dan wajah, malah mereka juga tidak menyebut hal darah daging dan sebagainya.
Halimah bersyukur, keluarga asalnya, berbangsa Cina, tidak berkurang kasih sayang kepadanya.
Dia diterima baik abang dan kakaknya. Sekali pun ibu dan ayah asalnya sudah tiada lagi, abang serta kakaknya, kekal baik dengannya.
Jika hari perayaan, Tahun Baharu Cina misalnya, kalau dia, anak bongsu daripada lapan beradik, lambat datang berkunjung, abang dan kakaknya akan terasa hati.
"Saya bersyukur dapat dua keluarga yang baik dan menyayangi saya. Sejak bayi, saya diserahkan kepada keluarga angkat. Mak angkat saya seorang jururawat dan dia suka bela anak. Sehingga akhir hayatnya sekalipun, dia tidak merujuk saya sebagai anak angkat, sebaliknya anak terakhir yang dikandungnya.
"Mak asal saya juga, menerima baik saya walaupun saya sudah Islam sejak bayi lagi. Kini mereka sudah tiada, abang dan kakak saya tetap menghubungi saya dari semasa ke semasa. Kami masih rapat, tiada sengketa, tiada bersangka apa-apa," kata Halimah, bekas petugas sebuah syarikat GLC ketika ditemui petugas media di hotel kediaman di Zwar Al Bait, Mekah baru-baru ini.
Halimah ialah antara 31,600 jemaah haji Malaysia yang mendapat tawaran menjadi dhuyufurrahman untuk musim haji 1445H/2024M.
Menceritakan mengenai rezeki itu, ibu kepada lima anak berusia antara 31 hingga 40 tahun ini berkata, dia tidak pernah menjangkakan akan menjejak kaki ke Tanah Suci.
Katanya, ini adalah kali kedua dia datang ke Tanah Suci di mana sebelum ini dia dan suami menunaikan umrah, yang dianggapnya sangat mencabar.
"Saya jangkakan haji ini lebih mencabar apabila perlu wukuf dan operasi di Masyair. Namun, saya siapkan diri dengan pembacaan dan merujuk kepada yang lebih pakar untuk sebarang pencerahan," ujar Halimah.
Ditanya doanya di Tanah Suci kali ini, Halimah berkata : "Doa penuh kesyukuran, tidak sangka dijemput menjadi tetamu Allah. Bersyukur dikelilingi orang-orang yang sayangkan saya. Untuk semua nikmat hidup 64 tahun ini, saya hanya mahu panjat kesyukuran."
#Halimah Enn #Anak angkat #Cina #Tanah Suci
;