Anak anggota polis mati ditembak di Sungai Siput
Bernama
Februari 21, 2015 14:09 MYT
Februari 21, 2015 14:09 MYT
Anak seorang anggota polis mati ditembak pada bahagian lengan kiri, bahu kanan, pipi kiri serta belakang kepala di tempat letak kereta di kediamannya di Lorong Lapan, Taman Tun Sambanthan dekat Sungai Siput di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput Supt Wan Jamil Wan Chik berkata dalam kejadian pada pukul 12.30 tengah malam, lelaki berusia 28 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian selepas terkena empat das tembakan.
Beliau berkata polis menerima maklumat mengenai kejadian daripada bapa mangsa yang terdengar bunyi tembakan di hadapan rumahnya.
"Hasil siasatan mendapati mangsa yang ketika itu menaiki kereta seorang diri dipercayai ditembak dengan beberapa das tembakan ketika turun dari kereta hendak masuk ke rumah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bapa kepada mangsa yang tidak bekerja itu merupakan anggota polis di Balai Polis Khantan Baru di sini.
Wan Jamil berkata polis menemui lima kelongsong peluru jenis 9mm dan dua butir peluru di tempat kejadian manakala dompet serta dua telefon bimbit milik mangsa mssih berada dengannya.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat, katanya.
Beliau berkata motif kejadian masih disiasat termasuk mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kejadian itu.