"Anak-anak yang hilang ibu bapa akibat COVID-19, kami semua ada untuk jaga kamu semua" - Tengku Zafrul

Ridauddin Daud
Oktober 29, 2021 16:33 MYT
Nasib anak-anak yang kehilangan ibu bapa akibat COVID-19 turut diberi perhatian dalam Bajet 2022, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
KUALA LUMPUR: Nasib anak-anak yang kehilangan ibu bapa akibat pandemik COVID-19 turut diberi perhatian dalam Bajet 2022, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Menurut beliau, pada 2022, kerajaan menyediakan RM25 juta kepada Yayasan Keluarga Malaysia bagi memimpin usaha melindungi kebajikan, pendidikan dan masa depan anak-anak tersebut.
Tambah Tengku Zafrul, kerajaan juga menyeru semua pihak khususnya sektor korporat untuk sama-sama menyumbang kepada anak-anak itu.
“Perdana Menteri telah berkesempatan melawat anak-anak yang kehilangan ibu bapa akibat COVID-19 pada 16 Oktober lalu. Seluruh negara turut melahirkan simpati kepada nasib anak-anak ini.
“Kepada Muhammad Hadhrami Husna Humaira, Muhammad Harraz, Muhammad Hawwas dan Hannan Humaira serta anak-anak yatim lain, kami semua sentiasa ada untuk menjaga kamusemua,” katanya ketika membentangkan Bajet 2020 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Tambah beliau, kerajaan turut menggesa badan-badan bukan kerajaan (NGO), komuniti setempat malah syarikat korporat untuk memainkan peranan bersama.
“Ia bagi memastikan kebajikan dan masa depan anak-anak ini terus terpelihara,” ujar beliau lagi.
#Tengku Zafrul #bajet 2022 #Dewan Rakyat #anak yatim
;