Anak-anak Sosilawati berjaya dapatkan sijil kematian ibu

Bernama
Julai 27, 2015 18:58 MYT
Antara anak-anak Sosilawati yang kini dapat melaksanakan urusan yang tertangguh berikutan sudah berjaya mendapatkan sijil kematian ibu mereka. - Gambar fail
Lima anak jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya hari ini berjaya mendapatkan sijil kematian ibu mereka, yang mati dibunuh di Banting, Selangor, pada 2010.
Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) Datuk Asmabi Mohamad membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman lima anak jutawan itu supaya sijil kematian ibu mereka dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Mahkamah turut memerintahkan Pengarah Bahagian Kelahiran, Kematian dan Anak Angkat JPN mengeluarkan sijil kematian itu dalam tempoh masa 14 hari bermula hari ini.
Asmabi ketika membuat keputusan itu berkata mahkamah mengguna pakai penghakiman yang diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Mei 2013, yang mensabitkan empat tertuduh bersalah mmembunuh Sosilawati dan tiga yang lain.
Katanya berdasarkan penghakiman itu, mahkamah mendapati darah yang ditemui pada kepingan atap zink adalah berpadanan dengan seorang lagi yang turut dibunuh ketika menyertai Sosilawati ke lokasi kejadian.
Asmabi berkata dua tertuduh sebelum ini turut mengaku bersalah membakar mayat Sosilawati dan tiga yang lain serta membuang abu keempat-empat mangsa.
Kelima-lima anak Allahyarham Sosilawati yang diwakili peguam Mohd Iskandar Ismail tidak hadir pada prosiding hari ini manakala JPN diwakili Peguam Kanan Persekutuan Maisarah Juhari.
Pada 24 September 2014, anak-anak jutawan itu -- Erwan Suwari Rizuwan Buhari, 29, Md Erwan Nasri, 28, Erni Erinawati Sofia, 26, Erni Rineelawati, 25, dan Siti Nur Fatimah, 18, -- memfailkan permohonan dengan menamakan JPN melalui Pengarah Bahagian Kelahiran, Kematian dan Anak Angkat sebagai responden tunggal.
Mereka antara lain, memohon satu perintah untuk membatalkan keputusan JPN pada 25 Julai 2014, yang tidak mengeluarkan sijil kematian ibu mereka.
Dalam surat mereka kepada JPN, lima beradik itu menyatakan bahawa mereka memerlukan sijil kematian untuk membolehkan mereka menguruskan harta arwah ibu mereka kepada waris-warisnya.
Pada 23 Mei 2013, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati terhadap bekas peguam N. Pathmanabhan dan tiga pekerja ladang - T.Thilaiyalagan, R. Matan dan R. Kathavarayan - selepas mendapati mereka bersalah membunuh Sosilawati, 47, pemandunya Kamaruddin Shamsuddin, 44, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, dan peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.
Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat di Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.
#anak #Banting #bunuh #jutawan kosmetik #sijil kematian #Sosilawati
;