Anak-anak Kedah di perantauan, tolong jangan rentas negeri untuk balik beraya!

Abd Hadi Che Awang
Julai 19, 2021 16:34 MYT
Masyarakat Alor Setar meminta seluruh rakyat Malaysia sama-sama berdoa agar keadaan kembali pulih seperti sediakala sekali gus memudahkan pergerakan rentas negeri dan membolehkan anak-anak pulang ke kampung halaman. - Gambar Astro AWANI
ALOR SETAR: Anak-anak Kedah yang mencari rezeki di perantauan terutama di Lembah Klang dinasihatkan agar tidak melakukan aktiviti rentas negeri untuk pulang menyambut hari raya Aidil Adha di negeri Jelapang Padi itu.
Tinjauan Astro AWANI mendapati rata-rata masyarakat berharap agar tidak berlaku pergerakan masuk kenderaan ke negeri itu bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku khususnya melibatkan penularan COVID-19 dalam kalangan komuniti.
Tambah mereka, mana-mana anak Kedah yang sudah mempunyai rancangan untuk pulang ke kampung halaman tanpa sebab yang kukuh atau kecemasan diharap dapat membatalkan niat mereka untuk bersama-sama membantu memerangi COVID-19.
Bagi Hamidun Shah Mohd Yusof, 50, yang juga seorang usahawan, aktiviti balik kampung untuk menyambut Aidiladha dalam kalangan anak-anak Kedah di perantauan tidak seharusnya berlaku dalam persekitaran masa kini.
Hamidun menggesa, sekiranya ada yang mempunyai niat sedemikian, elok dilupakan sahaja demi memastikan keselamatan masyarakat negeri Kedah secara umumnya.
"Saya rasa memang tak sepatutnya perkara itu (rentas negeri balik kampung) berlaku. Kita (semua) patut berjaga-jaga dengan keadaan kes yang semakin meningkat, sememangnya kita tak mau sangat-sangat (kenaikan kes)… kita sayang negeri kita, kita sayang negara kita, kalau boleh jangan balik, kita pun dengar pandemik merata penjuru, kita pun dengar (kenaikan kes) sehingga 13,000… untuk apa nak balik (kampung),” kata Hamidun.
Seorang lagi peniaga, Silawati Shuaib, 37, berkongsi pendapat, wabak COVID-19 sudah terbukti sangat bahaya dan mengancam nyawa manusia.
"Kalau boleh tu tak payah (balik kampung), musim sekarang wabak ini bawa penyakit, sangat bahaya. Benda (wabak) ini tak nampak (jadi) membahayakan orang ramai, diri sendiri… ingat keluarga, nyawa kita amat bernilai sekarang ini," ujar Silawati.
Beberapa penduduk Alor Setar yang ditemui juga meminta agar seluruh rakyat Malaysia sama-sama berdoa agar keadaan kembali pulih seperti sediakala sekali gus memudahkan pergerakan rentas negeri dan membolehkan anak-anak pulang ke kampung halaman bagi melepaskan rindu yang terpendam sejak sekian lama.
"Kita harap anak perantauan (yang) duduk di luar harap bersabar… jangan balik lagi ke kampung masing masing, khususnya di Kedah sebab (kes) semakin meningkat peratus kes harian, saya rasa mereka kena bersabar.
“Insya-Allah kita sama-sama pakat pakat bendung virus ini, atas pada kita sendiri," kata penjawat awam Abd Kadir Mohamad, 42.
Sementara itu, peniaga ikan Juhari Che Ahmad, 62, pula menasihatkan anak-anak jati Kedah yang menetap di Kuala Lumput atau Selangor agar berfikir panjang sebelum berhasrat balik kampung.
Katanya, ini adalah kerana jumlah peningkatan kes baharu positif COVID-19 semakin meningkat dan boleh mencetus kebimbangan ramai.
Sabtu lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) menasihatkan rakyat Malaysia supaya tidak merentas daerah dan negeri semasa sambutan Hari Raya Aidiladha esok.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, semua orang harus mengambil iktibar dengan insiden sebelum ini khususnya ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu yang menyebabkan penularan kes dan kluster dalam komuniti.
Menurut beliau, bermula 1 Jun 2021 iaitu sejak permulaan pelaksanaan 'total lockdown' sehingga data terkini 16 Julai 2021, sebanyak 267 kluster komuniti dengan jumlah 17,106 kes positif COVID-19 telah dilaporkan.
#anak-anak Kedah #perantauan #tolong jangan rentas negeri #balik kampung #hari raya aidiladha #COVID-19
;