Anak-anak kecil dibakar depan mata, cerita lelaki etnik Rohingya

Nabihah Hamid
Jun 20, 2014 16:27 MYT
Mohamed Ishak Ali bertekad mahu menghabiskan sisa hidupnya dalam negara ini. --Foto Nabihah Hamid
"Kami sanggup mati di bumi Malaysia daripada pulang ke kampung,"
Sambil bergenang air mata, Mohamed Ishak Ali, 64 bertekad mahu menghabiskan sisa hidupnya dalam negara ini. Lelaki lebih separuh abad itu sesungguh tidak akan dapat melupakan penganiayaan kaum etnik Rohingya itu.
Meskipun mengakui rindu akan kampung halamannya, Mohamed yang bertaraf penduduk tetap itu sanggup menjadi pelarian dan tinggal dihutan hampir tiga tahun.
"Sewaktu melarikan diri, kami hanya berjalan kaki meredah hutan. Kami berjalan melalui India dan memasuki Malaysia melalui Thailand," katanya.
"Dulu sewaktu rusuhan berlaku, di depan mata kami kampung halaman dibakar. Anak-anak kecil juga dibakar hidup-hidup," kata Mohamed ketika dihubungi wartawan di rumahnya sekitar Cheras, Kuala Lumpur.
Hidup tidak semudah disangka
Mohamed menjejakkan kakinya di Malaysia sejak tahun 1985 lagi. Bertemu jodoh di Malaysia dengan gadis Rohingya dan dikurniakan dua orang anak perempuan.
Meskipun menghela nafas lega dapat tinggal di Malaysia, namun kehidupan keluarganya masih dihimpit kesusahan. Ini kerana tanpa dokumen pengenalan yang sah, warga Rohingya sukar mencari rezeki.
"Tiada siapa yang hendak ambil kami bekerja. Untuk terus hidup, kami jual ayat-ayat suci Al-quran. Kami kumpul duit sikit-sikit.
"Kami hanya bergantung kepada kad UNHCR,"kata Mohamed lagi.
Asamah Mohd Safi, 21, turut berharap masalah mengenali dokumen dapat diselesaikan. Katanya meskipun mempunyai kad UNHCR, ia tidak bermakna keselamatan mereka terjamin.
"Kita susah hendak cari kerja, susah hendak cari makan. Kadang-kadang polis pun ada tahan. Kalau UNHCR hendak hantar kami bekerja di luar negeri kami terima tetapi tidak di Myanmar," kata ibu muda kepada dua anak itu.
Tiada pendidikan
Di Malaysia, anak-anaknya juga tidak mendapat peluang untuk kesekolah menuntut pendidikan. Mereka rata-rata lahir di Malaysia tanpa surat beranak. Mujur Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian UNHCR menyediakan perkhidmatan pembelajar.
"Sungguhpun dapat kesekolah yang dikendalikan UNHCR, namun ia masih lagi tidak mencukupi," kata Mohamed kepada wartawan.
Walau bagaimanpun anak bongsunya Nur Jumah tidak akan berputus asa dan masih menyimpan harapan untuk belajar.
"Dengan apa (keamanan) yang Allah sudah berikan, saya akan tetap bekerja. Emak dan bapa sudah tua, dan banyak pengorbanan mereka. Saya ingin berdikari. Saya ingin capai cita-cita. Saya ingin jadi doktor," kata gadis berusia 17 tahun sambil menahan sebak itu.
Harapan etnik Rohingya hanya menginginkan kehidupan sama rata seperti negara lain. Tiada apa yang lebih menggembira etnik tertindas itu selain diiktiraf sebagai warganegara dan menjalani kehidupan yang aman dan damai.
#etnik rohingya #Harian Pelarian
;