Anak-anak jerit 'papa.. mama..' lihat Eda Ezrin, suami tiba di mahkamah
Sinar Harian
Februari 14, 2025 11:00 MYT
Februari 14, 2025 11:00 MYT
Ahli keluarga melambai sebaik trak yang membawa Eda Ezrin melalui hadapan Mahkamah Narathiwat pada Jumaat. - Foto Sinar Harian
NARATHIWAT (Thailand): 'Papa.. mama.." demikian jeritan anak-anak kepada penyanyi wanita sohor Kelantan, Eda Ezrin atau Wan Norsahidah Azlin Wan Ismail, 30, sebaik sahaja trak melalui hadapan Mahkamah Narathiwat di sini hari ini.
Walaupun hanya mampu melambai serta melihat di sebalik jaringan trak, kanak-kanak terbabit kelihatan ceria dapat melihat dari dekat ibu bapa mereka.
Eda Ezrin bersama suami serta empat lagi rakan tiba di mahkamah pada jam 9.13 pagi bagi meneruskan sesi perbicaraan kes dadah yang dihadapi mereka.
Penyayi itu dilaporkan akan memberi keterangan berkait dua pertuduhan mengambil dadah dan memiliki 6,059 biji pil kuda.
Semalam, suami Eda Ezrin, Mohd Affendi Ahmad, 35, selesai memberikan keterangan bersama dua lagi tertuduh Mohamad Alif Deraman, 33, dan Nur Aida Mamat, 33.
Sementara itu, Zuhaira Nasrin, 36, dan Erdieka Mohd Noor, 33, akan turut memberikan keterangan bersama Eda Ezrin hari ini. - Sinar Harian