'Anak-anak harimau' mendiang Karpal akan terus mengaum - Vell Paari
T K Letchumy Tamboo
April 17, 2015 17:59 MYT
April 17, 2015 17:59 MYT
Walaupun sudah setahun sejak pemergian peguam ternama dan ahli politik, mendiang Karpal Singh, namun kenangannya masih kekal di minda bekas pengarah strategik MIC, Datuk Seri S. Vell Paari.
Vell Paari berkata Malaysia masih terkejut dengan kematian ‘antara warga yang paling disayanginya’ yang turut digelar Harimau Jelutong itu.
“Sukar untuk membayangkan bahawa setahun sudah berlalu sejak Karpal meninggalkan kita .
“Sumbangannya terlalu banyak untuk dinyatakan. Walaupun ramai yang percaya bahawa beliau telah meninggalkan satu kekosongan, saya tidak rasa begitu.
“Harimau mungkin tidak ada lagi, tetapi anak-anak harimau sudah menjadi harimau yang digeruni," kata Vell Paari, apabila merujuk kepada anak-anak Karpal yang terkenal, iaitu peguam Gobind Singh, Ram Karpal Singh dan tiga yang lain.
GALERI FOTO: Karpal Singh Dalam Kenangan (1940-2014)
Vell Paari berkata Gobind dan dirinya mungkin dari pihak politik yang bertentangan, tetapi penghargaan harus diberikan terhadap sumbangan mendiang ayahnya.
“Melaluinya (Gobind), ngauman Karpal akan berkumandang secara berterusan di negara ini,” kata Vell Paari dalam satu kenyataan hari ini.
Karpal Singh terbunuh dalam satu kemalangan jalan raya dekat Tapah pada 17 April, 2014.