Anak-anak dan pengajian sekolah pondok: Dilema dan realiti
Abdul Mutalib Embong
Februari 6, 2023 14:10 MYT
Februari 6, 2023 14:10 MYT
PERKEMBANGAN pengajian Islam khususnya pengajian tahfiz dan pondok bukanlah sebuah teras pengajian yang baharu pada marcapada ini.
Namun begitu, sistem pengajian Islam yang lebih sistematik dan teratur dilihat mula diterapkan sejak pasca kemerdekaan.
Bermula dengan Kelas Pengajian Menghafaz al-Quran Wal Qiraat dan kemudiannya berevolusi kepada Maahad Tahfiz Wal Qiraat dan masa kini Darul Quran, ia menjadi penanda aras kepada kemajuan yang sangat positif dari sudut pembangunan agama negara.
Kesedaran masyarakat Islam Malaysia umumnya tentang keperluan mendekatkan diri kepada Al-Quran semakin menebal dan mendapat perhatian.
Masyarakat Islam mula menyedari kepentingan beragama sebagai wadah bagi kemajuan hidup.
Hasilnya, masyarakat madani kian terbuka mata menyaksikan betapa pesat pembangunan pusat pengajian dan institusi tahfiz yang dibangunkan bagi menawarkan program pengajian tahfiz al-Quran dalam pelbagai bentuk dan kaedah.
Sejajar dengan itu, perkembangan pengajian pondok dan tahfiz di Malaysia yang amat memberangsangkan ini berpotensi membentangkan ruang dan peluang yang lebih luas kepada komuniti untuk mendalami butiran permata ayat suci Al-Quran di samping menghafaznya sebagai azimat yang mendatangkan ganjaran pahala di sisi Allah.
Tambahan pula, usaha mengembangkan sistem pengajian ini secara tidak langsung menambat hati para ibu bapa terhadap keberkesanan Al-Quran dalam pembentukan sahsiah anak-anak sekali gus membuahkan kebaikan berpanjangan dan pada masa yang sama martabat mereka yang mendalami Al-Quran di sisi Tuhan juga adalah mulia.
Natijahnya, sebahagian besar ibu bapa tidak melepaskan peluang tersedia ini untuk menghantar anak-anak ke sekolah pondok atau sekolah aliran tahfiz.
Sememangnya gelaran seorang ‘Al-Hafiz’ atau ‘Al-Hafizah’ adalah sangat tinggi nilaiannya sama ada di sisi Allah SWT ataupun dari sudut pandang umat Islam khususnya.
Sekolah tahfiz juga tampak berpengaruh dan memainkan peranan utama di dalam membentuk konsep kendiri anak-anak.
Untuk itu, terdapat sebahagian ibu bapa tidak hanya menggalakkan anak-anak ke tahfiz bahkan ada juga yang ‘memaksa’ anak-anak ke sana.
Dalam kita menelusuri perbincangan ini, tidak dinafikan wujudnya ideologi ibu bapa yang menjadikan institusi pengajian agama sebagai pusat pemulihan akhlak apabila gagal mendidik dan mengawal kebejatan sosial yang berlaku di rumah.
Kemelut ini akhirnya menyebabkan pondok atau pusat tahfiz dijadikan pusat longgokan anak-anak bermasalah sehingga memberi kesan kepada pihak lain.
Lebih menyedihkan apabila ibu bapa yang sibuk bekerja ataupun mempunyai masalah keluarga sering lepas tangan dan akhirnya mengambil jalan mudah untuk menghantar anak-anak ini ke sekolah pondok.
Bayangkan anak seusia tujuh tahun sudah dihantar untuk tinggal berjauhan di asrama. Pada usia sebegini, anak-anak ini amat memerlukan belaian dan perhatian daripada ibu bapa.
Selain belum mampu menguruskan diri sendiri dengan baik dan sempurna, mereka juga memerlukan tumpuan khusus di dalam membentuk jati diri berkeluarga.
Peranan ibu bapa adalah begitu signifikan kerana mereka menentukan perkembangan peribadi keluarga terutama anak-anak. Ibu bapa menjadi figura contoh atau suri teladan kepada mereka.
Emansipasi kehidupan sosial yang melibatkan hubungan harmoni antara ibu bapa serta anak-anak di rumah adalah tunggak utama tumbesaran anak-anak.
Anak-anak kecil yang dibesarkan tanpa institusi kekeluargaan yang kukuh bakal berdepan dengan identiti yang kacau jiwanya.
Keperluan batin mereka seperti ketenangan, kasih sayang dan asuhan pasti tidak dapat dipenuhi lantaran kurangnya interaksi dan tumpuan ibu bapa yang teramat minimum.
Psikologinya bakal terganggu dan dikaitkan dengan gangguan reaktif pertalian kasih sayang atau reactive attachment disorder (RAD).
Kanak-kanak yang mengalami RAD akan turut terlibat dengan masalah psikiatri lain seperti sukar berhubung dengan persekitaran dan gagal mengawal emosi.
Kesannya, mereka akan mengalami kurang keyakinan diri, tidak selamat, keseorangan dan sentiasa mahu menguasai keadaan.
Oleh yang demikian ibu bapa perlu bertimbang rasa sebelum membuat keputusan yang bijak melibatkan pengajian anak-anak.
Maulana Muhammad Umar Palanpuri pernah menyebut, “Ibu itu adalah madrasah, jika kamu sediakannya dengan sebaik-baiknya, maka sebenarnya kamu sediakan generasi yang utuh lagi hebat.”
Abdul Mutalib Embong ialah Pensyarah Kanan, Pusat Pendidikan Asas & Lanjutan (PPAL), Universiti Malaysia Terengganu
Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.