Anak-anak Abnil Hajar cadang ziarah pusara ayah sambil tunai umrah

Adie Sufian Zulkefli
Mei 26, 2024 07:50 MYT
Tiga daripada empat beradik anak-anak Allahyarham Abnil Hajar menunjukkan gambar keluarga mereka kepada media ketika ditemui di kediaman mereka di Kubang Pasu semalam. - Foto Astro AWANI
KUBANG PASU: “Kami reda. Kalau murah rezeki, kami akan ke Mekah tunaikan umrah dan ziarah pusara arwah ayah.”
Demikian reaksi sedih anak Allahyarham Abnil Hajar Ismail, 72 tahun, jemaah haji Malaysia yang meninggal dunia di Mekah Jumaat lalu.
Menurut Norshakila, 49 tahun, anak kedua Allahyarham, dia bersama tiga lagi adik-beradik lain bercadang untuk ke sana memandangkan ayah mereka dikebumikan di Makam Al-Sharaya pada Sabtu.
"Kami empat beradik perempuan, jadi mudah untuk bergerak bersama. Pada mulanya kami akan buat ibadah umrah dan selepas itu, dapatlah kami ziarah pusara ayah.
“Kalau nak pergi tunaikan haji takut lambat, sebab kena tunggu giliran. Jadi kami rancang buat umrah," katanya ketika ditemui di rumah mereka di kampung Tanjung Mukim Jeram, di sini, semalam.
Norshakila yang juga seorang guru berkata, dia menerima berita pemergian bapanya itu melalui panggilan telefon ibu mereka Sa'diah Bakar, 72 tahun, yang berada di Tanah Suci, pada jam 5 pagi, Jumaat.
"Emak beritahu, ayah ada muntah dan dibawa ke klinik pada hari yang sama. Tidak lama selepas itu, ayah meninggal. Rupanya ayah mohon petugas Lembaga Tabung Haji (TH) merahsiakan perkara itu kerana tidak mahu anak-anak risau," katanya.
"Setiap kali kami berbual melalui panggilan video kami nampak ayah sihat sahaja. Malah emak pun beritahu, ayah kuat dan bersemangat. Sebab itu kami terkejut apabila dimaklumkan ayah meninggal dunia.
"Tetapi, walau apa pun, kami reda. Apatah lagi ayah meninggal pada hari Jumaat di Mekah dan disolatkan di Masjidil Haram. Tak ramai yang dapat peluang macam ini di Tanah Suci," katanya.
Norshakila berkata, ayahnya mendaftar haji sejak 2009 dan gembira apabila mendapat tahu namanya dan emak terpilih untuk menunaikan haji pada tahun ini.
"Ayah gembira sangat, dari mula dapat berita sehingga hari kami hantar dia ke Hotel Raia pada 9 Mei lalu, dia teruja sangat," katanya.
Kematian Abnil Hajar disahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar ketika majlis mengucapkan selamat jalan kepada rombongan jemaah haji Malaysia pada Ahad.
Abnil Hajar disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital akibat pembuluh darahnya pecah pada Jumaat jam 10.30 malam.
#jemaah haji Malaysia #meninggal dunia di Mekah #Abnil Hajar Ismail #anak rancang ziarah
;