'Ana timbullah, abah nak jumpa'
Sinar Harian
November 18, 2024 17:20 MYT
November 18, 2024 17:20 MYT
GERIK: "Ana timbullah anak, abah nak jumpa, ibu nak jumpa", itulah rintihan Azizan Md Din, 60, yang mengharapkan anaknya segera ditemui dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari kedua pada Isnin.
Ringkasan AI
- Azizan Md Din, bapa kepada Nur Arina yang hilang dihanyutkan arus deras di Sungai Air Beruk, setia menunggu di lokasi kejadian sehingga anaknya ditemui, sambil melaungkan azan dan berdoa.
- Nur Arina, 20, dikhuatiri lemas ketika mandi bersama keluarganya. Ibunya, Saripah Ahmad, yang cuba menyelamatkannya, berjaya diselamatkan dan kini dalam keadaan stabil.
- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan 58 anggota dari pelbagai agensi diteruskan di sepanjang Sungai Air Beruk hingga Dataran Loma.
Mangsa, Nur Arina, 20, dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi bersama ibu dan tiga ahli keluarga lain di Sungai Air Beruk, Jalan Kampung Stang, Kampung Kerunai di sini pada Ahad.
Suasana pilu menyelubungi lokasi kejadian apabila Azizan melaungkan azan dalam nada sebak sebagai usaha membantu pasukan penyelamat mencari anak keduanya itu.
Bapa kepada empat anak itu dilihat menangis sambil berulang kali memanggil nama anaknya di tepi sungai sebelum ditenangkan ahli keluarga lain.
Menurut Azizan, dia akan setia menunggu di lokasi kejadian sehingga anak perempuannya berjaya ditemui oleh pasukan penyelamat.
"Apa pun keadaannya saya harapkan dia dapat ditemui. Itulah harapan saya.
"Penduduk kampung juga banyak membantu dengan membuat solat hajat di surau. Saya hanya mampu berdoa sebagai ikhtiar untuk dia," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Padang Stang di sini.
Ditanya mengenai keadaan isterinya yang terselamat dalam kejadian itu, Azizan berkata, isterinya, Saripah Ahmad, 48, telah menerima rawatan di Hospital Taiping dan disahkan dalam keadaan stabil.
Menurutnya, isterinya sempat menghubunginya menyatakan rasa kesal kerana gagal menyelamatkan Ana ketika itu.
"Dalam jam 3.30 pagi tadi isteri telefon dan minta maaf kerana tidak dapatkan selamatkan anak. Katanya dia berjaya capai tangan anak tetapi terlepas sebab arus deras.
"Saya pun minta dia banyak bersabar dan terus kuat kerana kejadian ini bukanlah disengajakan," katanya.
Nur Arina yang juga pekerja kilang dikatakan pulang bercuti ke Kampung Jong untuk berkelah bersama ahli keluarga lain dan sanak saudara dan sepatutnya pulang semula ke Sungai Petani, Kedah pada hari sama.
Dalam kejadian sekitar jam 2.30 petang itu, mangsa bersama adik perempuannya berusia 11 tahun serta dua sepupunya berpelampung ke hilir sungai manakala ibunya berpaut pada pelampung.
Bagaimanapun, pelampung mangsa dikatakan telah terpisah daripada ahli keluarga lain menyebabkan dia turun sebelum dihanyutkan arus deras.
Ibunya yang melihat kejadian itu telah terjun untuk mendapatkan mangsa menyebabkan dia turut dihanyutkan arus sebelum berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung berhampiran.
SAR hari kedua digerakkan melibatkan 58 anggota dari pelbagai agensi dengan pencarian dilakukan di sepanjang Sungai Air Beruk hingga Dataran Loma di sini. -Sinar Harian