Amukan penagih dadah: Dua anggota polis cedera, putus urat dilibas parang
Aida Aziz
Ogos 2, 2024 17:30 MYT
Ogos 2, 2024 17:30 MYT
TELUK INTAN: Dua anggota polis cedera setelah dilibas dengan parang oleh seorang lelaki yang merupakan penagih dadah di sebuah rumah di sini pada Khamis.
Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, Inspektor Tie Ngie Sieng mengalami luka sepanjang empat sentimeter di tangan kirinya.
Manakala Koperal Detektif Mohd Rasyidi Che Ross luka dan putus urat di pergelangan tangan kiri serta akan menjalani pembedahan bagi menyambung urat tersebut.
Selain itu, katanya, suspek turut mengalami kecederaan akibat kejadian amuk itu.
Katanya, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Daerah Hilir Perak menerima aduan pada Khamis, daripada salah seorang ahli keluarga berhubung penyalahgunaan dadah oleh suspek di rumah mereka.
"Sepasukan polis ke rumah suspek dengan dibantu Unit Kereta Peronda (MPV) pada hari sama sekitar 5.40 petang.
"Semasa sampai di rumah tersebut, suspek berusia 43 tahun itu cuba menghalang polis masuk membuat pemeriksaan.
"Suspek bertindak di luar kawalan dan mengamuk menggunakan sebilah parang serta menyebabkan cermin pintu rumahnya pecah.
"Pihak polis terpaksa memotong kunci mangga rumah berkenaan kerana suspek masih enggan
memberi kerjasama ketika dipujuk.
"Semasa proses penahanan, berlaku pergelutan di antara suspek dan polis hingga mencederakan seorang pegawai dan anggota polis," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Azizi menambah, hasil pemeriksaan di dalam rumah menemukan dadah jenis ganja dianggarkan 84.72 gram dan dadah jenis methaphetamine anggaran berat 5.54 gram.
"Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetmine.
"Pihak polis kemudiannya membawa suspek dan polis yang cedera ke hospital untuk mendapatkan rawatan," katanya.
Sehubungan itu, katanya, suspek telah ditangkap dan kes disiasat mengikut Seksyen 39a(2), 39a(1) & 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 326, 324 & 186 Kanun keseksaan.