Amukan jalan raya: Balu Syed Danial menangis di mahkamah

Sinar Harian
Disember 7, 2023 16:47 MYT
Qistina Ayu Rozhan, 32, berkata, hanya disebabkan salah faham dan kegagalan menahan amarah, dia kehilangan suami malah anak perempuannya tidak sempat merasai kasih sayang seorang bapa. - Gambar/ Sinar Harian
SHAH ALAM: Balu Allahyarham Syed Muhammad Danial Syed Syakir menangis di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, ketika menceritakan kesan kejadian amukan jalan raya sehingga menyebabkan suaminya meninggal dunia, empat tahun lalu.
Qistina Ayu Rozhan, 32, berkata, hanya disebabkan salah faham dan kegagalan menahan amarah, dia kehilangan suami malah anak perempuannya yang kini berusia empat tahun tidak sempat merasai kasih sayang seorang bapa.
“Saya terpaksa berdepan trauma, memandu berulang-alik ke tempat kerja selama bertahun-tahun, di lokasi sama suami saya terbunuh tanpa belas kasihan.
“Kesakitan yang dirasai tidak tertanggung apatah lagi bergelar ibu tunggal memandangkan saya perlu menjaga anak yang ketika kejadian baru mencecah usia tiga bulan,” katanya sambil menangis.
Bekas pekerja IT bersalah sebabkan kematian Syed Danial
Ahli keluarga yang hadir di mahkamah juga gagal menahan kesedihan ketika Qistina Ayu membaca kenyataan impak mangsa di hadapan Hakim, Julia Ibrahim.
Ibu kepada seorang anak itu berkata, ekoran kejadian tersebut, timbul rasa marah malah kesihatan mentalnya kian merosot.
Qistina yang juga kakitangan bank berkata, setiap hari dia menangis malah sedih setiap kali melihat anak perempuannya.
Bagaimanapun katanya, dia reda dengan ketentuan Ilahi namun keadilan perlu ditegakkan kerana tiada individu perlu melalui nasib yang sama.
Wanita itu turut meletakkan harapan yang tinggi kepada sistem kehakiman negara dan berharap hukuman yang adil serta menjadi pengajaran kepada pembuli jalan raya.
Selepas mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan termasuk kenyataan impak mangsa, Julia menjatuhi bekas pekerja di bahagian teknologi maklumat (IT), Yew Wei Liang hukuman penjara 16 tahun kerana menyebabkan kematian Syed Muhammad Danial.
Pada Selasa lalu, mahkamah mendapati Wei Liang, 45, bersalah atas tuduhan menyebabkan kematian Syed Muhammad Danial.
Sebelum ini, pada 22 Ogos 2019, Wei Ling didakwa membunuh Syed Muhammad Danial, yang juga pengurus bank di Kilometer 293.6, Lebuhraya Utara Selatan pada jam 1 tengah hari hingga 2 petang, pada 10 Ogos tahun sama.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, ketika membaca keputusan kes, hakim mensabitkan tertuduh mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kematian, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 30 tahun dan denda jika perbuatan itu dilakukan dengan niat hendak menyebabkan kematian.
Pendakwaan dalam kes ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Aqarie Durranie Aziz sementara pembelaan oleh peguam, Wee Choo Keong. - Sinar Harian
*Untuk berita terkini, ikuti kami di WhatsApp Astro AWANI
#Syed Danial #buli jalan raya #hukuman penjara #balu mangsa
;