Amuk Pulau Pinang: Polis kenal pasti suspek sebar berita palsu
Wan Syamsul Amly
September 26, 2019 12:37 MYT
September 26, 2019 12:37 MYT
Polis sedang memburu tiga suspek yang menyebarkan berita palsu di media sosial susulan kes wanita mati ditetak seorang lelaki amuk yang kemudian ditembak mati polis di Bayan Lepas pada Isnin.
Ketua Penolong Pengarah (D5) Pendakwaan/ Undang-Undang, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Mior Faridalathrash Wahid berkata, suspek dikenal pasti berada masing-masing dua di Kedah dan satu lagi di Pulau Pinang.
"Semalam, polis menerima satu laporan di Pulau Pinang mengenai status yang disebar melalui Facebook dan Whatsapp mendakwa bahawa suspek ditembak mati polis itu menyerang dua bekas rakan sekerjanya kerana mereka menghina Nabi Muhammad SAW.
"Sedangkan hasil siasatan dijalankan mendapati bahawa suspek sebenarnya menghadapi masalah mental kerana asyik dan terpengaruh dengan video keganasan di Timur Tengah, " katanya semasa sidang media di Bukit Aman di sini, pada Khamis.
Mior menjelaskan, pihaknya mendapati banyak kenyataan menghasut dikeluarkan dan telah menjalankan siasatan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, kes itu merupakan kes terpencil dan tiada kaitan dengan mana-mana kumpulan atau individu.
Hamid turut memberi peringatan, polis akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan berita mengenai kejadian tersebut yang dianggap boleh menyebabkan ketegangan kaum di negara ini.
Dalam perkembangan berasingan, Timbalan Pengarah 2, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Cheong Koon Kock berkata, polis berjaya melumpuhkan satu sindiket penyeludupan migran membabitkan warga Myanmar apabila menangkap seramai 77 orang dalam operasi yang dijalankan sejak 22 September hingga semalam.
Jelasnya, enam daripada mereka yang ditahan merupakan ketua-ketua sindiket manakala lima lagi adalah agen rangkaian.
Katanya, sindiket terbabit turut melibatkan warga tempatan dan kesemua migran warga Myanmar dibawa masuk ke negara ini menerusi pintu masuk Rantau Panjang, Kelantan menyusuri Sungai Golok.
#Bukit Aman
#Facebook
#jenayah
#keganasan
#Ketua Polis Negara
#Media
#media sosial
#Myanmar
#suspek
#WhatsApp