Amuk kereta kena langgar: Kiki didenda RM5,000, kerja komuniti 240 jam

Astro Awani
Julai 22, 2014 13:12 MYT
Video viral Kiki yang dimuat naik di laman sosial.
Siti Fairrah Asyikin Kamaruddin, 30 yang juga dikenali sebagai Kiki dijatuhkan hukuman denda RM5,000 dan melakukan kerja komuniti selama 240 jam di Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi.
Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin menjatuhkan hukuman tersebut selepas wanita itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikenakan ke atasnya kerana melakukan khianat terhadap kereta milik Sim Siak Hong, 68 di kawasan parkir kereta Pusat Transformasi Bandar Kuantan di sini pada 14 Julai lalu.
Kiki ditahan pada jam 4 petang Khamis lepas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan dan kemudian dibebaskan dengan jaminan lewat malam hari yang sama.
Kiki pada minggu lalu dilihat membuli seorang warga emas selepas warga emas itu dikatakan melanggar keretanya.
Video Kiki mengetuk-ngetuk kereta lelaki berkenaan dengan pengunci stereng kereta telah dirakam orang ramai dan videonya dimuat naik serta menjadi viral di laman sosial Facebook, Twitter dan YouTube.
#cdm25 #Kiki #Uncle Sim #wanita mengamuk
;