Amphicoach bakal beroperasi tidak lama lagi - MB Terengganu
Sharom Abu Bakar
Februari 22, 2018 20:04 MYT
Februari 22, 2018 20:04 MYT
Bas jenis "amphicoach" yang menjadi tarikan terbaharu di Terengganu bakal memulakan operasi tidak lama lagi.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, ketika ini Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Laut Malaysia sedang membuat penelitian sebelum beroperasi sepenuhnya.
Menurutnya, operasi amphicoach akan bermula di Kuala Terengganu dengan menyusuri Sungai Terengganu.
"Dua-dua jabatan ini perlu buat penyelarasan. Kita juga kena pastikan pilot kenderaan ini mempunyai dua-dua lesen ataupun dua orang pilot. Ini sedang diteliti dan diperhalusi. JPJ dan Jabatan Laut memberikan kerjasama yang sangat baik dalam soal ini. Jadi saya rasa kita boleh beroperasi secepat mungkin, InsyaAllah."
Beliau berkata demikian selepas majlis ramah mesra Menteri Besar Terengganu bersama Ahli Lembaga Pelawat Hospital dan Panel Penasihat Klinik Kesihatan Negeri Terengganu pada Khamis.
Ahmad Razif berkata, perkhidmatan amphicoach tersebut dapat membuka peluang pekerjaan kepada anak tempatan sekaligus merancakkan industri pelancongan.
Bas berkenaan tiba di Terengganu pada 18 Feb lalu dan telah melalui proses pengujian di darat dan air semalam.
Amphicoach yang ditempah pada tahun 2014 itu sepatutnya tiba di negeri itu setahun kemudian. Kelewatan penyerahan bas tersebut menjadi isu sehingga ada pihak yang membuat laporan polis mengenainya.
Amphicoach tersebut akan dipamerkan pada Ekspo Terengganu 2018 pada 25 Feb hingga 3 Mac depan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis, JPJ, Angkata Pertahanan Awam Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
#Ahmad Razif
#amphicoach malaysia
#amphicoach terengganu
#Jabatan Laut Malaysia
#JPJ
#MB Terengganu
#Menteri Besar Terengganu