Ampang sasar diisytihar sebagai bandaraya pada 2021 - Zuraida

Bernama
Julai 11, 2020 21:02 MYT
Menurut Zuraida, banyak projek pembangunan sedang dijalankan di Ampang bagi merealisasi misi tersebut. - Gambar fail
Ampang kini menetapkan sasaran untuk diisytihar sebagai sebuah bandaraya menjelang tahun depan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.
Ahli Parlimen Ampang itu berkata, banyak projek pembangunan sedang dijalankan bagi merealisasi misi tersebut.
"Antara projek yang sedang kita laksanakan adalah untuk buat satu kolam renang, pusat kawalan dan kita alihkan beberapa tempat medan selera, diperkemaskan dan dibersihkan.
"Ini antara usaha yang kita jalankan untuk mengangkatnya sebagai majlis bandaraya, kita sasar 2021," katanya selepas melawat tapak pembangunan di Dataran Belia Kampung Bukit Sungai Puteh, Ampang di sini hari ini.
Terdahulu, Zuraida berkata, Majlis Perbandaran Ampang Jaya telah memenuhi syarat seperti mempunyai jumlah penduduk melebihi 500,000 orang dan mencatat hasil sebanyak RM100 juta.
Ketika ini terdapat 14 bandaraya di Malaysia iaitu Kuala Lumpur, Ipoh, Petaling Jaya, Shah Alam, Alor Setar, Johor Bahru, Bandaraya Melaka, Kuala Terengganu, Kota Kinabalu, Miri, Kuching Utara, Kuching Selatan, Balik Pulau dan Seberang Prai.
Sementara itu, mengulas pembangunan loji sisa kepada tenaga (WTE) di bawah Dasar Kebersihan Negara, beliau berkata setiap negeri akan memiliki sekurang-kurangnya satu loji WTE. - BERNAMA
#2021 #Ampang #bandaraya #Zuraida Kamaruddin
;