AMMB setuju selesaikan RM2.83 bilion berkaitan 1MDB dengan kerajaan Malaysia
Umavathi Ramayah
Februari 26, 2021 20:05 MYT
Februari 26, 2021 20:05 MYT
KUALA LUMPUR : AMMB Holdings Berhad bersetuju dengan penyelesaian global bernilai RM2.83 bilion untuk menyelesaikan semua tuntutan dan tindakan tertunggak berkaitan dengan penglibatan Kumpulan AmBank di dalam isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz, penyelesaian global terkini itu adalah sebahagian daripada usaha tuntutan kembali oleh kerajaan Malaysia yang berterusan terhadap semua pihak yang terlibat, secara langsung atau tidak langsung dengan 1MDB dan entiti yang berkaitan dengannya.
Dengan penyelesaian ini, katanya, pembayaran jumlah tersebut akan dipercepatkan dan tidak akan tertangguh melalui sistem pengadilan mahkamah yang akan memakan masa.
"Jumlah ini juga dapat digunakan untuk melangsaikan kewajiban tertunggak 1MDB. Penyelesaian terbaharu ini bermanfaat bagi rakyat Malaysia," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.
Tengku Zafrul memberitahu, jumlah penyelesaian ini adalah tambahan kepada denda RM53.7 juta yang dikenakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan telah dibayar oleh Kumpulan AmBank.
Menurutnya, penyelesaian global itu bagaimanapun tidak akan mempengaruhi atau menjejaskan tuntutan Malaysia terhadap individu seperti Jho Low, Jasmine Loo dan pihak-pihak lain yang berkaitan yang masih dicari berkaitan dengan skandal 1MDB.
Katanya, Kumpulan AmBank telah pun mengambil langkah-langkah menyeluruh untuk memperbetulkan
kekurangan yang berkaitan dengan urus niaga terbabit.
"Ini termasuk langkah-langkah di bawah program pemulihan yang disyaratkan oleh BNM untuk dilaksanakan oleh Kumpulan AmBank, yang kini diterajui oleh lembaga pengarah dan pasukan pengurusan kanan yang baharu.
"Dengan langkah-langkah ini, Kumpulan AmBank berada di dalam keadaan lebih baik untuk terus melindungi kepentingan pendeposit serta pemegang saham dan bagi memastikan pertumbuhannya di masa hadapan," ujarnya.