Ammar dan Adam sedih dipukul ibubapa, kata guru
Linawati Adnan
Mac 11, 2014 14:30 MYT
Mac 11, 2014 14:30 MYT
Guru Ammar dan Adam dari Sekolah Antarabangsa Stockholm memberitahu Mahkamah Daerah Solna bahawa Ammar dan Adam dipukul kedua-dua ibu bapa mereka.
Menurut kelima-lima guru yang disoal pendakwaraya Anna Arnell, Adam dan Ammar berkata demikian apabila ditanya mengapa mereka bersedih sewaktu berada di sekolah.
Hari kesembilan perbicaraan juga menyaksikan Anna Arnell mengemukakan rakaman audio kenyataan Azizul Raheem Awaluddin yang bercanggah dengan kenyataannya di mahkamah minggu lalu.
Rakaman audio mendengarkan Azizul mengaku memukul anak-anaknya kerana tidak menjalankan solat dengan betul pada tahun lepas di rumah mereka di Spanga. Manakala, kenyataan Azizul kepada mahkamah pada minggu lalu menyatakan bahawa dia ada memukul anaknya tetapi tidak di Sweden.
Menurut seorang ahli keluarga yang menghadiri perbicaraan itu, Azizul dan Shalwati Nor Shal kelihatan tenang sepanjang perbicaraan.
Semalam juga merupakan detik yang penuh emosi kepada pasangan ini apabila pegawai mahkamah membenarkan Shalwati bercakap dengan adiknya Shalena Nor Shal buat seketika.
Shalena kini menjadi penjaga sementara kepada kempat-empat anak saudaranya.
Sejak ditahan pada tahun lepas, Azizul dan Shalwati belum bertemu dengan kempat-empat anak-anak mereka.
Azizul Awaluddin Raheem, seorang pegawai Tourism Malaysia dan Shalwati, seorang guru yang sedang bercuti tanpa gaji telah ditahan sejak Disember tahun lalu kerana dipercayai mendera keempat-empat anak mereka yang kini berada dalam jagaan ibu saudara di Kelantan.
Kesemua mereka dibawa pulang dari Sweden oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin, pada awal bulan ini.
Anak sulung pasangan tersebut, Aishah, 14, dan Ammar kini bersekolah di SMK Padang Kala sementara Adam, 11 dan Arif pula menuntut di SK Padang Kala, Kota Bharu.
Perbicaraan yang bermula 18 Februari lalu dijangka berakhir pada 12 Mac nanti.
#anak-anak
#Azizul Raheem Awaluddin
#dera
#Kota Bharu
#Mahkamah Daerah Solna
#Shalwati Nor Shal
#Tourism Malaysia