AMK sambut baik usaha agenda reformasi

Faida Rahim
Februari 27, 2024 22:12 MYT
AMK yakin semua pihak sentiasa menghormati dan melindungi hak perlembagaan rakyat untuk berekspresi termasuk berhimpun secara aman dan bebas.- Gambar fail/FB AMK
KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) menyambut baik usaha konstruktif berkaitan agenda reformasi selaras dengan idealisme dan perjuangan parti.
AMK dalam satu kenyataan memaklumkan, langkah itu termasuk usaha Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) serta semua pihak khususnya kumpulan masyarakat sivil yang konsisten mengangkat wacana reformasi menerusi mana-mana saluran.
"AMK turut menyatakan keyakinan semua pihak sentiasa menghormati dan melindungi hak perlembagaan rakyat untuk berekspresi termasuk berhimpun secara aman dan bebas.
"Sebagai sayap parti pemuda Kerajaan Madani, AMK terbuka serta mengalu-alukan perbincangan yang konstruktif dengan semua pihak agar agenda reformasi ini dapat dijayakan sebaiknya.
"AMK percaya bahawa BERSIH perlu mendokong usaha Kerajaan untuk mengembalikan kestabilan politik yang sebenarnya penting dalam usaha mencapai matlamat kerajaan," jelas kenyataan itu.
Sementara itu, AMK menyeru pihak BERSIH untuk tidak hanya terhenti setakat berhimpun untuk menuntut, sebaliknya bersedia menghulurkan tangan membantu kerajaan untuk mencapai pelaksanaan agenda reformasi.
#muda #pemuda #pilihan raya #Bersih
;