AMK Pulau Pinang lapor polis dakwa bahan kempen PH disabotaj

Bernama
Jun 27, 2024 21:00 MYT
Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang membuat laporan polis selepas mendakwa ada pihak cuba mensabotaj kempen jentera Perpaduan. - Foto Sinar Harian
NIBONG TEBAL: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang membuat laporan polis selepas mendakwa ada pihak cuba mensabotaj kempen jentera Perpaduan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap dengan merosakkan gegantung dan bendera parti Pakatan Harapan (PH).
Ketuanya Muhammad Fadzli Roslan mendakwa sebanyak 38 gegantung dan 53 bendera yang dipasang di sekitar kawasan Bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat, di sini telah diturunkan pihak tidak bertanggungjawab malah ada di antaranya yang dibuang di dalam longkang.
"Pada 12.30 tengah malam tadi, ketika saya bersama pasukan petugas (AMK) yang berada di sekitar Bandar Tasek Mutiara dan Puteri Gunung telah melakukan rondaan di kawasan Simpang Ampat dan mendapati ada beberapa individu berpakaian awam sedang memasang bendera parti Perikatan Nasional (PN).
"Lanjutan daripada itu, kami meneruskan rondaan dan selepas itu mendapati beberapa bahan kempen yang dipasang petugas-petugas daripada PH telah pun dirosakkan dan digantikan dengan bendera atau gegantung parti PN," katanya pada sidang media selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) di sini hari ini.
Beliau berkata segala bukti termasuk gambar di lokasi kejadian telah pun diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut
Muhammad Fadzli berkata pihaknya enggan menuding jari kepada mana-mana pihak namun kesal kerana perbuatan tersebut telah mencemarkan kempen PRK yang sepatutnya berlangsung dalam suasana yang sihat.
PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PH Dr Joohari Ariffin dan calon PN Abidin Ismail, yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.
-- BERNAMA
#AMK Pulau Pinang #laporan polis #bahan kempen disabotaj #Pakatan Harapan
;