AMK Perak lapor polis pemilik akaun Facebook hina Perdana Menteri
Bernama
September 21, 2023 18:19 MYT
September 21, 2023 18:19 MYT
IPOH: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak membuat laporan polis terhadap seorang pemilik akaun media sosial kerana memuat naik hantaran menghina Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Facebook.
Ketua AMK Perak Zaim Sidqi Zulkifly berkata laporan polis berkenaan telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh semalam terhadap pemilik akaun bernama "Mubin Salleh".
"Saya yakin kenyataan ini berunsur fitnah yang serius dan mengaibkan serta tuduhan yang melampau dibuat pemilik akaun itu terhadap Perdana Menteri. Hantaran itu juga mendapat banyak reaksi dan komen jelik.
"Jadi, laporan ini dibuat supaya polis melakukan siasatan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata satu laporan polis juga telah dibuat pada Selasa lepas terhadap seorang pengguna media sosial TikTok sweet_purple1404 yang memuat naik video berdurasi 14 saat memaparkan gambar Anwar dengan tulisan "Innalillah".
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan ketika dihubungi Bernama mengesahkan pihaknya menerima kedua-dua laporan berkenaan.
-- BERNAMA