AMK Perak akan buat laporan polis terhadap Razman

Amirrul Rabbani
November 7, 2022 18:36 MYT
Sejak semalam, tular video siaran langsung di laman Facebook Razman dalam salah satu siri kempen PRU15 beliau di salah satu kawasan di DUN Gunung Semanggol yang berdurasi kira-kira 15 minit. - Gambar fail
IPOH: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak akan membuat laporan polis ke atas Pesuruhjaya Pas Negeri, Razman Zakaria yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua AMK Perak, Zaim Sidqi Zulkifly berkata laporan polis berkenaan akan dibuat esok, susulan tular video siaran langsung di Facebook Razman dengan beliau mendakwa Pakatan Harapan (PH) yang diketuai Anwar akan membawa agenda LGBT ke dalam negara.
Zaim Sidqi berkata pihaknya menyifatkan kenyataan calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gunung Semanggol dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) itu sebagai fitnah dan berbaur hasutan.
“AMK Perak akan bergerak bagi membuat laporan polis (esok), supaya pihak polis dapat membuat siasatan berkaitan video yang tular di media sosial itu.
“Laporan polis yang akan dibuat juga sebagai tujuan kami mahu suasana ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini semua dapat berkempen secara berhemah.
“Selain itu, kami mahu tempoh berkempen ketika ini juga dapat dilakukan tanpa timbul sebarang suasana ketegangan,” katanya yang juga calon PH di DUN Lintang pada PRU15 kali ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Sidang Media Jawatankuasa Pilihan Raya Negeri Keadilan di Pejabat PKR Perak pada Isnin.
Hadir sama, Jurucakap Bilik Gerakan Utama PKR Perak yang juga penyandang Kerusi Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye.
[LAPOR LANGSUNG] Gelanggang PRU15 sudah dibuka, calon penuh ada di sini
RUJUK SENARAI CALON PRU15 DI SINI
Walau bagaimanapun Zaim Sidqi berkata maklumat lanjut bagi dibuat laporan polis berkenaan hal itu akan dikongsikan kepada pemberita kemudian.
Sejak semalam, tular video siaran langsung di laman Facebook Razman dalam salah satu siri kempen PRU15 beliau di salah satu kawasan di DUN Gunung Semanggol yang berdurasi kira-kira 15 minit.
Antara ucapannya, Razman mendakwa PH yang diketuai Anwar mahu membawa agenda bagi menghalalkan perkahwinan sejenis sementara DAP pula didakwa akan membawa agenda komunis ke dalam negara sekiranya gabungan itu menang pada PRU15.
#PRU15 #AMK Perak #Razman Zakaria #Anwar Ibrahim
;