AMK cela tindakan cerca calon parti rakan PR
Irwan Muhammad Zain
Mei 24, 2013 18:33 MYT
Mei 24, 2013 18:33 MYT
Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengecam tindakan parti dalam Pakatan Rakyat yang meletakkan calon di kawasan yang telah dipersetujui ditandingi rakan lain semasa Pilihan Raya Umum ke-13 yang baru lalu.
Ketua AMK, Shamsul Iskandar Md Akin menegaskan pihaknya juga mencela tindakan mencerca calon parti rakan dalam Pakatan Rakyat yang tidak seharusnya berlaku.
"Kita mencela tindakan mencerca calon parti rakan biarpun tidak ada bukti kukuh terhadap apa yang dikatakan.
"AMK rasa kesal kerana masih ada pimpinan Pakatan Rakyat yang seolah-olah benak tidak memahami tahalluf siyasi (kerjasama politik) sehingga menyaksikan masih wujud pertembungan saat-saat akhir di beberapa kawasan seluruh Malaysia," katanya semasa berucap dasar Kongres Nasional Tahunan Ke-9 di Dewan Sivik MBPJ, di sini hari ini.
Kenyataan Shamsul itu dilihat merujuk kepada tindakan PAS meletakkan calonnya di beberapa kerusi yang telah dipersetujui sepatutnya ditandingi oleh PKR, serta kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mencemuh calon parti rakan dalam Pakatan Rakyat.
Sementara itu, dalam ucapannya, Shamsul juga mendesak agar semua parti dalam Pakatan Rakyat memecat mana-mana pimpinan atau ahli yang gagal akur serta ingkar arahan parti dan tidak dibenarkan kembali semula ke dalam mana-mana parti.
Dalam pada itu, Shamsul menjelaskan AMK akan mengambil inisiatif untuk mewujudkan pasukan khusus bagi memperkemaskan struktur mereka dengan pemerkasaan Wanita Muda disamping mewujudkan kolaborasi pintar dengan Srikandi KEADILAN.
Katanya usaha itu dibuat bagi mengisi kemenangan yang diperolehi dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang lalu.
"Kemenangan yang ada pada hari ini perlu kita isi sebaiknya sebagai bekal untuk kita bawa pada PRU-14 kelak.
"Maka, beberapa gerakan dan pendekatan bersepadu harus kita gerakkan di peringkat AMK, agar gerak kerja kemenangan total PRU-14 akan lebih terjamin dan tersusun," katanya yang juga Ahli Parlimen Bukit Katil.
Shamsul menjelaskan kolaborasi dengan Srikandi KEADILAN bertujuan melaksanakan program-program cakna wanita muda di seluruh negara, dengan mensasarkan kawasan pinggir bandar.