AMK buat laporan polis pengguna Facebook hina PM

Bernama
Oktober 3, 2023 21:38 MYT
Laporan polis itu dibuat oleh Ketua AMK Cabang Batu Muhammad Sabda Suluh Lestari Yahya di IPD Sentul hari ini. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Batu hari ini membuat laporan polis terhadap seorang pengguna media sosial yang didakwa memuat naik dua hantaran jelik terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Laporan polis itu dibuat oleh Ketua AMK Cabang Batu Muhammad Sabda Suluh Lestari Yahya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini hari ini.
Muhammad Sabda berkata pihaknya berharap polis dapat menyiasat pemilik akaun berkenaan yang dikatakan secara terang-terangan menghina Perdana Menteri.
"Kami mengesa polis mengambil tindakan tegas terhadap pemilik akaun itu kerana dikhuatiri akan menjejaskan ketenteraman awam pada masa akan datang," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di sini.
Pemilik akaun menggunakan nama Din Den Oden memuat naik sekurang-kurangnya dua komen di media sosial Facebook yang dilihat mempertikai kuasa Lembaga Pengampunan Diraja seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Muhammad Sabda berkata pihaknya mengesan komen itu Ahad lepas kira-kira 12.30 tengah hari.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul ACP Ahmad Sukarno Mohd Zahari ketika dihubungi Bernama mengesahkan menerima laporan itu.
-- BERNAMA
#laporan polis #hantaran jelik #pemilik akaun #ketenteraman awam
;