Amizar angkat sumpah sebagai ADUN Pelangai
Sinar Harian
Disember 4, 2023 10:20 MYT
Disember 4, 2023 10:20 MYT
KUANTAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam mengangkat sumpah jawatan itu pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini pada Isnin.
Amizar, 53, mengangkat sumpah di hadapan Speaker DUN Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin di Wisma Sri Pahang, sewaktu permulaan prosiding terbabit.
Malah, beliau juga menandatangani surat sumpah jawatan itu.
Amizar, yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bentong memenangi kerusi Pelangai dengan majoriti 2,949 undi.
Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai 7 Oktober lalu, Ahli Jawatankuasa UMNO Bentong itu memperoleh 7,324 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat yang mendapat 4,375 undi dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasni yang hanya meraih 47 undi, sekali gus hilang wang deposit.
Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Datuk Mohammad Shahid Ismail di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi PRK Pelangai di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul.
Mohammad Shahid turut mengumumkan peratusan pengundi yang keluar mengundi pada hari ini adalah 72.12 peratus.
Seramai 16,456 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu termasuk 36 anggota polis dan tiga Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.
PRK DUN Pelangai diadakan susulan kekosongan luar jangka kerusi DUN itu selepas penyandangnya Datuk Seri Johari Harun yang juga Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, meninggal dunia dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November tahun lepas, Johari yang mewakili BN meraih 7,308 undi dan menang dengan majoriti 4,048 undi menewaskan Kasim (PN) yang mendapat 3,260 undi, calon Pakatan Harapan (PH) Ahmed Wafiuddin Shamsuri (2,031) dan calon Pejuang Isa Ahmad (65).
Sementara itu, Mohd Sharkar mengucapkan tahniah kepada Amizar yang berjaya mengekalkan kerusi DUN Pelangai.
Beliau menganggap kemenangan ini diperolehi selepas lalui satu ujian yang getir kepada Kerajaan Perpaduan di negeri ini.
Seramai 16,456 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu termasuk 36 anggota polis dan tiga Pengundi Tidak Hadir Luar Negara. - Sinar Harian