Amirudin sumbang sebulan gaji, aktifkan semula tabung khas bencana COVID-19

Madiha Abdullah
Januari 20, 2021 12:31 MYT
Amirudin menyumbang gaji sebulan kepada Tabung Bantuan Menangani Bencana COVID-19. - Bernama
KUALA LUMPUR: Selangor mengaktifkan semula Tabung Bantuan Menangani Bencana COVID-19 bagi membantu usaha menangani wabak tersebut.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebagai permulaan dan tanda sokongan, beliau sendiri menyumbang gaji sebulan kepada tabung berkenaan.
"Kerajaan Negeri turut bercadang melaksanakan potongan gaji meliputi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), ADUN dan pegawai tinggi di GLC.
"Mekanisme potongan gaji ini akan dimuktamadkan dan akan disalurkan ke tabung ini," katanya dalam sidang media pengumuman bantuan khas Pakej Kita Selangor, hari ini.
Pada tahun lalu, kerajaan negeri menerima sumbangan berjumlah RM 9.3 juta dan telah digunakan bagi perbelanjaan khusus buat para petugas barisan hadapan serta bidang perubatan menangani COVID-19.
"Sumbangan korporat dan GLC Selangor amat dialu-alukan. Syukur Alhamdulillah pagi ini kerajaan negeri menerima sumbangan RM2.3 juta bagi Tabung Bantuan Bencana ini," tambahnya.
Terdahulu, Amirudin mengumumkan pakej bantuan khusus untuk rakyat negeri Selangor bagi mendepani cabaran Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 (PKP2.0).
Dinamakan Pakej Kita Selangor, ia memberi implikasi kewangan berjumlah RM73.877 juta kepada kerajaan negeri.
BACA: Selangor umum pakej khas bantu rakyat hadapi PKP 2.0
#Amirudin Shari #Selangor #COVID-19 #perintah kawalan pergerakan #tabung #pandemik #bantuan #pakej khas #Tabung Bantuan Menangani Bencana COVID-19
;