Amirudin fail saman fitnah terhadap Sanusi
Sinar Harian
Ogos 31, 2023 15:02 MYT
Ogos 31, 2023 15:02 MYT
SHAH ALAM: Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari memfailkan saman fitnah terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung dakwaan pemimpin itu terbabit skandal dengan pengasas Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan membabitkan projek pembersihan Sungai Klang.
Peguam Amirudin, Haijan Omar mengesahkan saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Rabu dengan salinan kertas kausa diserahkan kepada defendan.
Haijan berkata, salinan writ saman juga sudah diserahkan kepada peguam yang mewakili Muhammad Sanusi dari Tetuan Faizi Associates.
"Kita sudah memfailkan prosedur tertentu dan akan masukkan memorandum bagi pembelaan selain kita juga minta injunksi yang akan dibuat dalam prosiding lain.
"Mahkamah menetapkan 3 Oktober ini untuk pengurusan kes, " katanya seperti dilaporkan sebuah portal pada Khamis.
Pada 4 Ogos lalu, Amirudin seperti dilaporkan Sinar Harian memaklumkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Muhammad Sanusi berkait satu kenyataan fitnah.
Ia susulan ucapan pemimpin Pas itu pada 2 Ogos lalu dalam Jelajah Mega PN Best 'Sayangi Kedah Sejahtera' yang membuat dakwaan mengenai skandal antara Amirudin dan Vincent yang mahu melaksanakan projek bernilai RM10 bilion di Sungai Klang.
Amirudin turut menjelaskan pihaknya telah memperincikan secara panjang lebar projek pembersihan sungai itu pada sidang Dewan Negeri Selangor pada tahun lalu dan awal tahun ini serta pada sidang parlimen 1 Mac lalu.
Berikutan itu, pada 9 Ogos pasukan peguam Amirudin telah menyampaikan surat tuntutan kepada Muhammad Sanusi memohon defendan memohon maaf dalam tempoh 48 jam dan membayar ganti rugi RM10 juta.
Dalam writ saman itu, Amirudin selaku plaintif dilaporkan menuntut defendan ganti rugi am, teruk dan teladan yang tidak dinyatakan, serta perintah injunksi untuk menghalang Muhammad Sanusi daripada mengulangi dakwaan berkenaan.
Menurutnya, penyataan fitnah itu diucapkan defendan bagi merendahkan reputasi plaintif di mata masyarakat atau mendedahkannya kepada kebencian, penghinaan dan cemuhan serta dicetuskan oleh niat jahat.
*Artikel disiarkan di Sinar Harian