"Amir ingat, nama kamu saya yang angkat jadi MB Selangor" - Mohamed Azmin
Umavathi Ramayah
Jun 24, 2023 23:30 MYT
Jun 24, 2023 23:30 MYT
SHAH ALAM: Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendedahkan beliau yang mencadangkan nama Datuk Seri Amirudin Shari untuk dilantik sebagai Menteri Besar Selangor.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor itu berkata, pada peringkat awal, PKR tidak menghantar nama Amirudin ke Istana Selangor bagi mengisi jawatan itu selepas gabungan itu menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
"Yang ada ini, kononnya (mengaku) dia anak didik Azmin Ali. Inilah Menteri Besar (Selangor) sekarang.
"Betullah dia anak didik aku, nama dia parti tak serah kepada Istana (Selangor). Amir ingat kamu tahu, yang angkat nama kamu adalah aku.
"Tetapi hari ini kamu bersekongkol dengan dot dot dot... maka kita tidak ada pilihan. Kita kena tolak PH, UMNO, DAP di Selangor," katanya ketika berucap pada Konvensyen PN Selangor 2023 di sini, pada Sabtu.
Selepas kemenangan Pakatan Harapan di Selangor pada PRU14, Mohamed Azmin dibawa ke peringkat pusat menjadi menteri menyebabkan jawatan Menteri Besar Selangor dikosongkan.
Beberapa nama disebut-sebut menjadi pengganti Mohamed Azmin yang ketika itu menjadi Timbalan Presiden PKR termasuk ADUN Ijok, Dr Idris Ahmad yang dikatakan menjadi pilihan pimpinan pusat parti.
Bagaimanapun pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu gagal mempertahankan kerusi Parlimen Gombak yang disandang sejak 2004 apabila kecundang di tangan Amirudin.
Dalam pertembungan lima penjuru kerusi itu, Amirudin (PH-PKR) memperoleh 72,267 undi dengan majoriti 12,729 undi manakala Azmin (PN-BERSATU) mendapat 59,538 undi, Datuk Megat Zulkarnain Omardin (BN-UMNO) meraih 30,723 undi, Datuk Aziz Jamaludin Mhd Tahir (GTA-PEJUANG) mendapat 2,223 undi dan Zulkifli Ahmad (Bebas) menerima 675 undi.
Pada PRU14, Mohamed Azmin yang bertanding atas tiket PKR, menang dengan majoriti 48,721 selepas menewaskan calon BN Datuk Abdul Rahim Kamarudin dan calon PAS Ir. Khairil Nizam.