Aminuddin umum 11 portfolio Exco Negeri Sembilan

Bernama
Ogos 24, 2023 19:55 MYT
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun (kiri) bergambar bersama Exco yang hadir sebelum mempengerusikan mesyuarat pertama bersama barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) di Wisma Negeri hari ini. - Foto BERNAMA
SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun mengumumkan senarai 11 portfolio Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) pada pasca Mesyuarat Exco yang pertama di Bangunan Wisma Negeri di sini hari ini.
Aminuddin berkata selain sebagai Menteri Besar, beliau turut memegang portfolio Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Agama Islam dan Keselamatan; Jawatankuasa Bertindak Kewangan, Tanah dan Sumber Alam dan Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Infrastruktur, Utiliti dan Kemudahan Awam.
Beliau berkata Exco Kanan Datuk Seri Jalaluddin Alias yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang, menggalas portfolio Jawatankuasa Bertindak Kemajuan Desa, Perladangan dan Komoditi dan Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup.
Empat Exco yang dilantik semula, Teo Kok Seong (ADUN Bahau) menggalas portfolio Jawatankuasa Bertindak Perindustrian dan Hal Ehwal Bukan Islam (HEBI) dan ADUN Bukit Kepayang Nicole Tan (Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan).
Manakala ADUN Repah S. Veerapan (Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan) dan ADUN Nilai J. Arul Kumar (Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan).
Exco baharu lain ADUN Pilah Noorzunita Begum Mohd Ibrahim (Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Masyarakat); ADUN Seri Menanti Datuk Ismail Lasim (Jawatankuasa Bertindak Pendidikan dan Modal Insan) dan ADUN Palong Mustapha Nagoor (Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan).
ADUN Linggi Datuk Mohd Faizal Ramli pula memegang portfolio Jawatankuasa Bertindak Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital dan ADUN Ampangan Tengku Zamrah Tengku Sulaiman (Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional, dan Badan Bukan Kerajaan).
Dalam pada itu, Aminuddin yang juga ADUN Sikamat berkata antara perkara lain turut dibincangkan dalam mesyuarat tersebut termasuk tarikh Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang ke-15, serta cadangan pelantikan speaker dan timbalan speaker DUN.
"Kedua-dua nama untuk speaker dan timbalan belum ada, kerana senarai tersebut perlu dihantar tujuh hari sebelum persidangan diadakan. Tetapi kita akan adakan Persidangan Khas untuk mereka (Speaker dan Timbalan Speaker) angkat sumpah, yang dijadualkan pada 26 Sept ini," katanya.
-- BERNAMA
#Negeri Sembilan #Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri #exco negeri sembilan #Aminuddin Harun
;