Aminuddin terima gelaran Datuk Seri Utama
Astro Awani
Januari 14, 2024 09:30 MYT
Januari 14, 2024 09:30 MYT
SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mendahului senarai 473 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat Hari Keputeraan ke-76, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada Ahad.
Aminuddin yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan dianugerahkan Darjah Seri Utama Negeri Sembilan (SUNS) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain pula penerima tunggal Darjah Seri Setia Negeri Sembilan Yang Amat Cemerlang (SSNS) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Lima individu lain menerima Darjah Datuk Paduka Negeri Sembilan (DPNS) yang membawa gelaran Datuk, iaitu Mufti Negeri Sembilan, Prof Madya Faudzinaim Badaruddin; Ketua Hakim Syarie, Kamal Bashah Ahmad Tajuddin; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din; Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zafir Ibrahim dan Hakim Utama Mahkamah Tinggi Seremban, Datin Rohani Ismail.
Seramai 22 individu pula menerima Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan (DBNS) yang turut membawa gelaran Datuk.
Istiadat pengurniaan darjah kebesaran Negeri Sembilan bagi sesi pertama akan berlangsung di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti Kuala Pilah, dekat sini, hari ini.
#Aminuddin Harun
#Tuanku Muhriz Tuanku Munawir
#darjah kebesaran Negeri Sembilan
#Istana Besar Seri Menanti Kuala Pilah