Amerika, Jepun tawar bantu isu Rohingya - Najib

Bernama
Mei 27, 2015 10:34 MYT
NAJIB: Kerajaan akan membincangkan lebih lanjut mengenai bentuk bantuan yang diperlukan. -Foto Bernama
Amerika Syarikat dan Jepun telah menunjukkan kesediaan mereka untuk membantu Malaysia dan ASEAN dalam menyelesaikan isu pelarian Rohingya.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan Malaysia akan membincangkan lebih lanjut mengenai bentuk bantuan yang diperlukan.
Kepada soalan sama ada Amerika bersedia mengambil masuk etnik Rohingya itu seperti yang dilakukanya terhadap pelarian Vienam dari 1970 an-2001, Najib berkata mereka telah menyatakan akan menimbangkan langkah sedemikian.
"Pelarian Rohingya ialah suatu perkara serius. Walaupun kita memang mahu menanganinya melalui penyelesaian ASEAN, keupayaan kita terhad dan kita memerlukan bantuan antarabangsa," katanya selepas mengadakan dialog dengan para pelajar di Tohoku University di sini.
Bot pertama dari Vietnam mendarat di pantai timur Malaysia pada Mei 1975, dan lebih daripada 255,000 orang diberikan perlindungan sementara di Malaysia, sebelum kebanyakan mereka ditempatkan di negara-negara barat dan kem terakhir ditutup pada 2001.
Buat masa ini Kedah menghadapi kebanjiran pendatang tanpa izin Rohingya dan warga Bangladesh apabila 1,158 orang daripada mereka mendarat di Langkawi pada 11 Mei lepas.
Malaysia dan Indonesia telah bersetuju untuk menyediakan tempat berlindung sementara bagi 7,000 pendatang tanpa izin yang dipercayai masih berada di perairan antarabangsa, dengan syarat penempatan semula dan proses penghantaran balik akan dilakukan dalam tempoh setahun oleh masyarakat antarabangsa.
Najib berkata kerajaan Malaysia akan melakukan yang terbaik untuk menangani isu Rohingya ini bagi mencegahnya menjadi suatu bencana.
Mengenai penemuan kawasan kubur besar dipercayai mangsa perdagangan manusia di sempadan Malaysia-Thailand, Najib berkata ia merupakan perbuatan kejam dan menjijikkan.
"Kita akan perangi kegiatan perdagangan manusia ini...ia merupakan jenayah paling kejam dan kita akan minta kerjasama dari Thailand untuk mengekang aktiviti sedemikian," katanya
Mengenai laporan media asing yang memberikan gambaran pasukan keselamatan Malaysia kononnya terlibat atau menutup mata terhadap kegiatan sedemikian, Najib berkata setakat ini tidak dapat disahkan tuduhan itu.
"Ia mungkin dilakukan oleh orang asing di sempadan. Saya diberitahu oleh pasukan keselamatan bahawa rupa bumi di situ sukar untuk ditembusi tanpa akses atau jalan keluar, sebab itu mereka tidak menjalankan rondaan di situ," katanya.
#Amerika #Jepun #pelarian #Rohingya
;