Ambulans terbabas di lebuh raya, pemandu dan pesakit maut
Abd Razak Mohd Ali
Ogos 4, 2019 10:52 MYT
Ogos 4, 2019 10:52 MYT
Sebuah ambulans terbabas dan terlanggar pembahagi jalan di Kilometer 368.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, pagi ini menyebabkan pemandu dan pesakit yang dibawa maut.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada 6.42 pagi tadi.
“Terdapat lima mangsa yang terlibat dan dua disahkan maut di lokasi oleh pihak ambulans,” katanya dalam satu kenyataan.
Mangsa lain termasuk seorang doktor, jururawat dan pembantu pemandu dilaporkan cedera dalam kemalangan itu.
Difahamkan, ambulans berkenaan sedang membawa seorang pesakit perempuan dari Hospital Slim River ke Hospital Kuala Lumpur.
Polis masih menyiasat dan mengumpul maklumat lanjut mengenai kemalangan.
#ambulans terbabas
#Hospital Kuala Lumpur
#hospital slim river
#Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
#JBPM Perak
#pemandu dan pesakit maut
#PLUS