Ambulans bawa pesakit bertembung pacuan empat roda

Adie Sufian Zulkefli
November 3, 2021 00:22 MYT
Dalam kejadian jam 7.10 malam itu ambulans terbabit dalam perjalanan perjalanan dari arah Tikam Batu menghala ke arah pusat bandar Sungai Petani. - Gambar/ PDRM
SUNGAI PETANI: Dua kakitangan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini terselamat selepas ambulans mereka yang membawa pesakit bertembung dengan pacuan empat roda di persimpangan lampu isyarat di Kilometer 63 Jalan Alor Setar-Butterworth, pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, dalam kejadian jam 7.10 malam itu ambulans terbabit dalam perjalanan perjalanan dari arah Tikam Batu menghala ke arah pusat bandar Sungai Petani.
Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, lampu isyarat dalam keadaan hijau namun secara tiba-tiba sebuah pacuan empat roda datang dari arah hadapan.
“Pemandu ambulans tidak sempat mengelak lalu berlanggar dengan pacuan empat roda terbabit.
“Ketika kejadian hujan lebat dan kenderaan lain bergerak perlahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pemandu ambulans bersama pembantu perubatan tidak mengalami kecederaan namun pesakit berusia 62 tahun yang berada dalam kenderaan itu mengalami sakit dada dan sesak nafas.
“Pesakit terbabit dibawa ke HSAH dengan menaiki ambulans lain. Pemandu dan penumpang pacuan empat roda turut tidak mengalami kecederaan serius," katanya.
#Ambulans #kemalangan #Tikam Batu #Sungai Petani
;