Ambrin Buang ketuai jawatankuasa siasatan khas isu tadbir urus - PM
Bernama
Jun 6, 2018 19:13 MYT
Jun 6, 2018 19:13 MYT
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang sebagai pengerusi Jawatankuasa Siasatan Khas isu-isu tadbir urus, perolehan dan kewangan negara.
Siasatan akan bermula dengan Kementerian Pertahanan, katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Perdana Putra, di sini, hari ini.
Ambrin berkhidmat sebagai Ketua Audit Negara kira-kira 11 tahun sejak 23 Feb 2006 sebelum bersara pada 22 Feb 2017.
Perdana Menteri dalam pada itu berkata mesyuarat Kabinet turut membincangkan pelbagai inisiatif kerajaan, antaranya kajian terhadap mekanisme bagi memudahkan golongan muda membuat pembelian rumah pertama berikutan syarat ketat yang dikenakan oleh bank untuk rakyat membuat pinjaman.
Katanya kerajaan juga sedang mengkaji kaedah untuk mengurangkan kos perumahan yang akan diterangkan dalam masa terdekat.
Dr Mahathir berkata agenda pembangunan usahawan luar bandar turut dibincangkan, antaranya kajian mengenai inisiatif penggalakkan mesin dan teknologi bagi meningkatkan kualiti produk yang dihasilkan.
"Latihan kemahiran pasaran secara dalam talian akan turut diberi. Kerajaan akan berusaha mempermudahkan penggunaan jualan dalam talian supaya kita dapat menolong pengusaha kecil," katanya.
Perdana menteri berkata di samping itu, sebuah jawatankuasa yang turut melibatkan pakar-pakar bukan kerajaan akan ditubuhkan bagi mengkaji semula kurikulum pendidikan negara bermula dari peringkat taman asuhan kanak-kanak (Taska) sehingga ke peringkat universiti.
"Ini termasuk mengambil kira kurikulum dari negara-negara luar yang turut meliputi aspek tertentu seperti kesedaran sivik," katanya.
Berhubung kaji selidik terhadap kemiskinan dan penafian hak kanak-kanak bandar di flat kos rendah, Dr Mahathir berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan mengkaji isu kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak miskin bandar termasuk di Putrajaya. -- Bernama
#Ambrin Buang
#audit
#kabinet
#kerajaan
#Mahathir Mohamad
#Perdana Menteri
#Putrajaya
#rakyat
#siasatan