Ambil tindakan pihak jual cecair nikotin atas talian

Abd Razak Mohd Ali
Oktober 5, 2019 18:05 MYT
Kementerian memandang serius iklan penjualan vape di atas talian dan mengalu-alukan langkah SKMM menyekat iklan seumpama itu. - Gambar hiasan
Kementerian Kesihatan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang menjual cecair vape yang mengandungi nikotin di atas talian.
Penjualan itu dilarang di bawah Akta Racun 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah & Kosmetik 1984.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, kementerian memandang serius iklan penjualan vape di atas talian dan mengalu-alukan langkah SKMM menyekat iklan seumpama itu.
"Memang ini usaha yang berterusan... untuk kita menyekat mereka yang jual cecair vape yang mengandungi nikotin. Segala usaha yang dibuat oleh MCMC memang kita alu-alukan supaya penjualan vape ini tidak berleluasa khususnya di kalangan kanak-kanak yang nampaknya menjadi sasaran," ujar beliau.
Beliau ditemui selepas merasmikan seminar mengenai kanak-kanak berkeperluan khas sepanjang hayat di Ipoh pada Sabtu.
Baru-baru ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk membenteras penjualan vape dan rokok elektronik secara atas talian.
#cecair vape #E-rokok #jual atas talian #kesihatan #Lee Boon Chye #nikotin #SKMM #Timbalan Menteri Kesihatan
;