Ambil tindakan kepada mereka yang buang topeng muka tidak ikut peraturan - Lee Lam Thye
Astro Awani
Mei 25, 2020 18:22 MYT
Mei 25, 2020 18:22 MYT
Pihak berwajib disaran mempertimbangkan tindakan undang-undang dikenakan kepada mereka yang sengaja membuang topeng muka tanpa mengikut cara-cara yang tepat.
Pengerusi Perikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata tindakan undang-undang merupakan tindakan yang perlu dilaksanakan bagi mencegah tingkah laku yang tidak bertanggungjawab atau menghukum pesalah yang degil ini demi kepentingan kesihatan awam.
"Perundangan mesti menjadi jalan terakhir sekiranya nasihat, pujukan, dan nasihat tidak berjaya," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau juga menyarankan pengilang topeng muka turut mencetak petunjuk cara mengguna dan membuang seperti yang dilakukan oleh pengeluar barang lain yang memerlukan pengendalian dan perawatan yang tepat.
Lam Thye mengingatkan topeng muka jika tidak dibuang dengan cara yang betul atau di tempat yang tepat, akan menyebabkan penularan COVID-19.
"Perkara ini sebenarnya amat penting, memandangkan semakin ramai orang menggunakan topeng muka di tempat awam, seperti yang dinasihatkan oleh Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, dan kemudian mereka membuangnya ke tong sampah awam atau lebih buruk lagi di lorong belakang dan ke dalam longkang.
"Pakar kesihatan mengatakan bahawa topeng yang dibuang secara sembarangan terutama yang tercemar atau yang mempunyai rembesan pernafasan, boleh menjadi bahaya ke atas kesihatan sekiranya orang lain bersentuhan dengannya.
"Kumpulan yang paling mudah terdedah adalah pengumpul sampah yang kemudian akan menjadi sumber jangkitan dan bagi sesiapa yang mereka bersentuhan," katanya lagi.
Katanya, pembuangan topeng muka secara sembarangan juga akan memberi kesan negatif kepada alam sekitar dan boleh mengakibatkan saluran air tersumbat.
Beliau turut menyarankan agar lebih lebih banyak kempen pendidikan untuk mendidik masyarakat mengenai cara-cara yang tepat dan betul untuk membuang topeng muka.
#bertanggungjawab
#KKM
#Lee Lam Thye
#Perikatan Komuniti Selamat
#tindakan
#topeng muka
#undang-undang