Ambil tahu isyarat amaran banjir, bunyi berbeza dengan polis, bomba - Dr Ching Thoo

Umavathi Ramayah
Oktober 3, 2024 13:17 MYT
Dr Ching (kanan) bercakap pada sidang media Forum Iklim Kebangsaan 2024 Monsun Timur Laut: Tindakan dan Cabaran Barisan Hadapan di Dewan Damar Blok F8 hari ini. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Orang ramai perlu cakna dan ambil tahu bunyi siren amaran banjir sebagai langkah kesiapsagaan sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.

Ringkasan AI
  • Kesedaran Bunyi Siren Amaran Banjir: Orang ramai perlu mengenali dan membezakan bunyi siren amaran banjir daripada bunyi siren Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sebagai langkah kesiapsiagaan.
  • Penambahbaikan Isyarat Amaran: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah menambah baik isyarat amaran banjir dengan bunyi yang lebih kuat dan berbeza, serta disertakan dengan pengumuman untuk memastikan penduduk mengambil tindakan segera.
  • Projek Naik Taraf Sistem Ramalan Cuaca: Beberapa projek sedang dijalankan untuk menaik taraf sistem radar cuaca dan stesen pencerapan cuaca konvensional kepada stesen meteorologi auksiliari automatik yang berteknologi tinggi untuk meningkatkan keupayaan ramalan dan pemantauan cuaca.

Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Dr Ching Thoo Kim memberitahu, penduduk wajar membezakan bunyi siren amaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Justeru Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menambah baik isyarat amaran dari segi bunyi yang kuat dan berbeza daripada siren polis atau bomba, selain disertakan dengan pengumuman sekiranya berlakunya banjir di kawasan terlibat.
“Berdasarkan pengalaman (banjir) di Sri Muda, Shah Alam, siren itu dikatakan tidak nyaring dan tak dengar.
“(Mengambil contoh banjir di Sri Muda), penduduk ingat (bunyi siren) itu bomba polis dan tidak ambil tindakan,” katanya kepada pemberita pada Forum Iklim Kebangsaan 2024, Monsun Timur Laut: Tindakan dan Cabaran Pihak Hadapan, di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, Ching Thoo berkata, dalam usaha untuk meningkatkan perkhidmatan ramalan cuaca negara, beberapa projek naik taraf sistem radar cuaca yang telah dan sedang di jalankan melalui Projek Peningkatan Kecekapan Sistem Rangkaian Radar Cuaca.
“Di bawah Projek Menaik Taraf Stesen Pencerapan Cuaca Permukaan, 100 stesen pencerapan cuaca konvensional akan dinaik taraf kepada stesen meteorologi auksiliari automatik yang berteknologi tinggi,” ujarnya.
"Melalui pelaksanaan projek itu, kata beliau, pihaknya dapat mengoptimumkan keupayaan sistem rangkaian cuaca sedia ada serta meningkatkan perkhidmatan pemantauan cuaca berterusan, ramalan cuaca semasa dan penyampaian amaran cuaca buruk kepada masyarakat,” ujarnya.
#amaran banjir #bunyi siren #Dr Ching Thoo Kim #PDRM #JBPM #monsun timur laut
;