Ambil serius latihan kebakaran - Bomba
Hafiz Marzukhi
Februari 14, 2018 12:29 MYT
Februari 14, 2018 12:29 MYT
Rakyat wajar mengambil serius setiap latihan kebakaran yang dikendalikan Jabatan Bomba dan Penyelamat agar mereka dapat bertindak dengan cepat dalam situasi kebakaran yang bahaya.
Ketua Pusat Gerakan Operasi Bomba Selangor Zulfikar Jaafar berkata latihan yang diberikan penting kerana menyentuh cara-cara menyelamatkan diri serta laluan kecemasan dalam sesuatu bangunan.
"Jadi, saya harap sesiapa yang menghadiri latihan, ambil maklum apa yang diperkatakan kerana perkara ini melibatkan nyawa seseorang," kata Zulfikar.
Beliau berkata demikian bagi merujuk kepada perkongsian pekerja-pekerja pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Jalan Gasing bahawa latihan kebakaran yang dijalani mereka amat membantu dalam memastikan mereka dapat keluar dari bangunan yang terbakar dengan selamat.
Semua 600 pekerja dan pelanggan yang berada di dalam bangunan berkenaan berjaya menyelamatkan diri dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Punca kebakaran dipercayai disebabkan percikan api susulan kerja penyelenggaraan dan ditambah dengan faktor cuaca panas dan angin kuat.