Ambil pengajaran, derita tak cukup air lebih berat - MB Perak

Aida Aziz
Mac 29, 2022 10:49 MYT
Saarani berkata, Perak tetap dengan keputusan untuk menjaga kepentingan rakyatnya terlebih dahulu walaupun ramai yang mahu perkara itu dipertimbangkan semula. - Foto ihsan SUK Perak
IPOH: Perak mengambil pengajaran daripada situasi yang dihadapi Pulau Pinang berhubung isu kekurangan bekalan air mentah, sekali gus mahu mengelakkan rakyat negeri ini menderita akibat isu sama.
Perkara itu ditegaskan sekali lagi oleh Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad hari ini, meskipun beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang mencadangkan supaya kerajaan negeri mempertimbangkan semula keputusan untuk tidak menjual air mentah kepada negeri lain.
"Memang ada kajian yang dibuat oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA). Kita pun ada baca kajian tersebut.
"Cuma saya ingin memaklumkan sekali lagi, pengalaman kita melihatkan kepada derita Pulau Pinang apabila bekalan air tidak mencukupi.
"Itu menyebabkan Perak lebih bersikap untuk membuat persiapan kepada mempertahankan kita (negeri) dahulu. Kalau terlepas (dijual) air ke tempat lain, kita nak minta semula tak boleh," katanya,
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan lisan Howard Lee Chuan How (DAP-Pasir Pinji) pada Persidangan DUN Perak ke-14 di sini hari ini.
Howard bertanya sama ada kerajaan negeri mahu mengkaji bagaimana untuk memulakan pelan perniagaan daripada segi bekalan dan implikasi kos rawatan air terawat, yang boleh dijalankan bersama Pulau Pinang.
Saarani bagaimanapun berkata, Perak tetap dengan keputusan untuk menjaga kepentingan rakyatnya terlebih dahulu walaupun ramai yang mahu perkara itu dipertimbangkan semula.
"Derita tak cukup air ini cukup besar, kerana itu seperti yang saya maklumkan tadi, kita sudah buat unjuran bahawa air ini hanya mencukupi untuk kegunaan kita (Perak).
"Dan kita tidak dapat bekalkan kepada pihak lain," katanya lagi.
Sementara itu, Ketua Pembangkang Abdul Aziz Bari (DAP-Tebing Tinggi) ketika bertanya soalan berkata, blok pembangkang berharap kerajaan negeri melihat situasi tersebut (menjual air mentah) boleh menambahkan hasil negeri.
"Pandangan kami daripada pihak sebelah sini (pembangkang) ialah, kita mengharapkan supaya keputusan itu (tidak menjual air mentah) tidak muktamad atau mati begitu saja.
"Kita lebih melihat isu daripada segi menambahkan hasil negeri dalam masa terdekat.
"Mungkin dalam keadaan sekarang itu tidak boleh berlaku, tetapi sekiranya dengan teknologi yang ada, Sungai Perak itu boleh didalamkan.
"Mungkin lebih banyak air boleh ditakung di sungai berkenaan," katanya.
#bekalan air #derita tak cukup air #DUN Perak #Saarani Mohamad
;