Ambil pengajaran dari pengalaman dilalui calon SPM 2020
Rahimah Abdullah
Februari 15, 2021 14:17 MYT
Februari 15, 2021 14:17 MYT
KUALA LUMPUR: Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) perlu digembleng secara menyeluruh agar calon SPM 2021 belajar dari pengalaman dilalui pelajar SPM 2020, ujar Yang DiPertua Mimbar Permuafakatan Ibubapa Malaysia (Mapim) Selangor, Datin Seri Ismalina Ismail.
Pada masa sama, jelasnya, sokongan ibu bapa akan dapat memastikan proses pembelajaran anak-anak dilakukan melalui pengurusan mikro dengan tidak hanya bergantung kepada guru semata-mata.
Susulan daripada pandemik COVID-19, pendekatan dalam menghadapi peperiksaan utama itu dilihat berbeza dan memerlukan ketahanan mental serta fizikal pelajar, guru-guru dan ibu bapa.
"Dulu, apabila anak menghadapi peperiksaan, kita mula dengan solat perdananya dan kita akan berjumpa dengan anak, berkomunikasi dengan kaunselor untuk melihat bagaimana status pemikiran, kesediaan, emosi, fizikal anak-anak.
"Namun kalau kita tengok SPM 2021, perkara itu sudah tidak boleh dilakukan lagi. Sebab itu pada kami, penglibatan Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti, dan Swasta (KSIB) ini juga penting untuk pergi kepada pengurusan mikro.
"Kalau sebelum ini kita boleh bersemuka dan kita akan bergerak kepada pengurusan makro. Kami di KSIB dan PIBKS, kami akan tanya keseluruhan kumpulan. Kita akan tanya dari minggu ke minggu, macam mana keadaan anak-anak, ada tak yang depresi. Itu satu isu," katanya kepada Astro AWANI melalui Skype pada Isnin.
Dalam masa sama, tekanan dialami pelajar calon SPM 2021 juga perlu dititikberatkan ibu bapa terutama selepas sekian lama melalui Proses Pengajaran dan Pembelajaran (PDPR).
"Bila ada pandemik ini, kena ada gajet dan bukan sahaja kita semata-mata nak berdepan dengan gajet, kena ada hubungan ada sesama mansia.
"Jadi macam mana nak menguruskan tekanan kanak-kanak. Ini adalah kerana SPM pada mereka dan kita sendiri, amat penting dalam hidup," ujarnya.
PdPR 'buka mata' ibu bapa
Dalam pada itu, PdPR dilihat membuka mata ibu bapa untuk melihat sejauh mana prestasi anak-anak dalam pelajaran.
"Sebenarnya saya dan rakan-rakan sendiri terasa bahawa PdPR ini adalah sebenarnya memberi ruang kepada ibu bapa untuk lebih bersama anak-anak dalam pembelajaran. Sebelum ini kita lepaskan 100 peratus kepada pihak sekolah," katanya lagi.
Malah jelas Ismalina, ia memberi ruang kepada ibu bapa dalam mendekati anak-anak yang mungkin kurang meluangkan masa bersama mereka sebelum pandemik COVID-19.
"Kalau kita hantar anak ke sekolah asrama kita tak langsung nak fikir anak nak belajar nak bangun dan sebagainya sebab segalanya serah pada pihak sekolah.
"Kalau sekolah biasa pula, kita ambil petang, malam baru nak tanya mereka. Namun, dengan kehidupan ibu bapa sibuk dengan media sosial sebab sehari suntuk bekerja, ia melihat kepentingan anak diletak nombor dua," ujarnya.
Justeru katanya, PdPR memerlukan kerjasama antara semua pihak baik di pihak pelajar, ibu bapa dan guru dalam menjayakan pendekatan pembelajaran norma baharu susulan pandemik COVID-19.
"Saya menyeru ibu bapa dan anak-anak bahawa PDPR ini akan berkesan kalau ada maklum balas dan sentiasa bersikap inovatif dan kreatif. Kita tidak boleh harapkan guru dan KPM sahaja," ujarnya.